SHAH ALAM – Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) berpandangan bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti yang diluluskan pada Khamis masih mempunyai ruang untuk penambahbaikan.
Bersih dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengenal pasti masih ada sekurang-kurangnya dua kelemahan dalam RUU tersebut yang perlu diperbaiki pada masa hadapan.
Menurutnya, kelemahan dikesan ialah RUU itu tidak menangani isu-isu berkaitan dengan parti yang bertukar gabungan selepas pilihan raya.
"Langkah Sheraton berlaku akibat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang keluar daripada PH dan seterusnya membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan sokongan gabungan Muafakat Nasional (MN) oleh UMNO dan Pas,” katanya.
Kata kenyataan itu lagi, kelemahan kedua adalah wakil rakyat yang dipecat parti tidak dimasukkan sebagai sebab kekosongan kerusi, apabila ia mengecualikan pemecatan daripada takrifan lompat parti.
"Ini kerana undang-undang anti lompat ini akan dilemahkan kerana ahli Dewan Rakyat atau Ahli Dewan Undangan Negeri yang berpaling tadah melawan parti tidak akan meletakkan jawatan dan menunggu sehingga dipecat untuk mengekalkan kerusi di dalam Dewan,” katanya.
Kata kenyataan itu lagi, Bersih ingin menekankan bahawa mekanisme terbaik untuk menangani gejala lompat parti ini adalah Undang-Undang Prosedur Pecat Wakil Rakyat (Recall Law) di mana wakil rakyat yang keluar parti atau menukar parti tidak secara automatik dikosongkan kerusi.
Katanya, keputusan sama ada wakil rakyat tersebut perlu kekal atau tidak perlu diberikan kepada rakyat semula untuk menentukan melalui prosedur atau petisyen bagi memecatnya.
"Walaupun adanya undang-undang anti lompat parti (Recall Law atau Anti-Hopping Law) kami juga sedar bahawa undang-undang ini tidak akan berkesan sepenuhnya sekiranya pengundi masih menganggap wakil rakyat hanya pegawai kebajikan semata-mata kerana peranan sebenar wakil rakyat tidak diperkasakan untuk menggubal dasar dan polisi di Dewan,” katanya
Kenyataan itu berkata dengan tanggapan sedemikian, pelompat parti akan menang dalam pilihan raya kecil selagi mereka lompat ke arah kerajaan dan mendapat lebih sumber naungan.
Sehubungan itu katanya, semua pihak termasuk kerajaan, pembangkang dan semua parti politik perlu serius mempertimbangkan perubahan atau penambahbaikan struktural kepada sistem politik dengan pemberian peruntukan saksama kepada semua wakil rakyat, had peratusan wakil rakyat yang dilantik menjadi menteri dan timbalan menteri, larangan wakil rakyat persendirian memegang jawatan di dalam syarikat berkaitan kerajaan, pemerkasaan dan kebebasan Parlimen dan DUN serta reformasi Peguam Negara untuk menghentikan pendakwaan terpilih.
Mengulas mengenai RUU berkenaan, Bersih turut menyifatkan ia sebagai batu penanda kepada kejayaan Memorandum Transformasi dan Kestabilan Politik yang memperlihatkan perbincangan dan kerjasama secara profesional antara ahli politik di pihak yang berbeza bagi membawa demokrasi negara bergerak satu langkah ke hadapan
Bersih berharap agar Dewan Negara sebulat suara meluluskan RUU itu untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
"Peranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Jawatankuasa Pilihan Khas berkaitan undang-undang anti lompat parti yang diketuai beliau amat penting dan harus dipuji,” katanya.
Bersih kesan dua kelemahan RUU larangan tukar parti
Iklan