'Jaga adik-adik kalau berlaku perkara buruk'

Iklan
Nursyafanis (kiri) bersama tiga adiknya ketika melakukan pengecaman jenazah di Jabatan Forensik HSB.

ALOR SETAR - Anak sulung pasangan suami isteri yang maut dalam kebakaran rumah di Bukit Malut, Langkawi semalam, terkenangkan pesanan terakhir ibunya, Allahyarham Noorsuhaila Hamat, 41, apabila berdepan musibah yang tidak dijangka itu.

Nursyafanis Mohd Nahar, 20, berkata, ibunya sempat berpesan kepada dirinya supaya menjaga adik-adik, Nur Syafinas, 18, Nur Syafina, 18, (kembar Nur Syafinas) dan Nur Saleha, 11, sekiranya berlaku perkara buruk.

Iklan
Iklan

Menurut penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA) itu, pesanan terakhir itu masih terngiang-ngiang di telinga ketika pulang bercuti semester di Langkawi pada pertengahan bulan lalu.

"Saya kena kuat demi adik-adik, saya akan pegang pesanan terakhir arwah mama sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) hari ini.

Iklan

Walaupun Nursyafanis dan tiga adiknya masih terkejut dengan kejadian yang menimpa ibu, Noorsuhaila dan bapa, Mohd Nahar Suhaimi, 39, serta adik lelaki bongsu, Muhammad Nawfal, 6, namun mereka reda dengan ketentuan Allah SWT.

"Memang bukan mudah kami empat beradik nak hadapi, kami hilang ibu, bapa dan adik lelaki dalam sekelip mata, tetapi saya akan galas tanggungjawab sebagai kakak sulung walaupun berat,” katanya.

Iklan

Nursyafanis berkata, dia juga masih teringat permintaan arwah bapanya yang merakamkan banyak gambar bersamanya ketika dia bersiap-siap mahu pulang ke UnisZA, di Kuala Terengganu pada 24 Mac lalu.

"Inilah kenangan terakhir saya dengan mereka, arwah abah puji saya dan beberapa kali sebut ‘Ya Allah cantiknya kakak hari ini’ sebelum merakamkan gambar. Satu-satunya adik lelaki saya, Nawfal pula merayu supaya saya tak pulang ke universiti,” katanya, sebak.

Menurutnya, dia baru tiba di Langkawi dari Kuala Terengganu malam semalam dan diminta membuat pengecaman ke atas jenazah ibu bapa dan adiknya, di Jabatan Forensik HSB, hari ini.

"Bila tatap jenazah abah dan mama, saya masih kuat. Tapi saya tak dapat tahan sedih lihat mayat Nawfal, wajahnya macam menahan kesakitan," katanya.

Nursyafanis berkata, kali terakhir dia membalas WhatsApp ibunya pada malam Sabtu lalu ketika dia bertanyakan mengenai pelajaran dan kesihatannya.

"Abah ada juga hubungi saya masa tu, tapi mereka tak ada pula tunjuk perubahan. Saya juga sempat borak dengan Nawfal di telefon," katanya.

Menurutnya, dia bercadang membawa adik-adiknya tinggal bersama datuk, Hamat Noor, 70-an di Chuping, Perlis memandangkan jenazah ibu bapa dan adiknya akan dikebumikan di sana.

Dalam kejadian 7 pagi semalam, tiga beranak itu ditemui rentung dalam keadaan menyayat hati selepas rumah mereka yang terletak di Pangkalan Nelayan Sungai Tepa, Bukit Malut terbakar.