[VIDEO] Majlis Presiden PH tuntut tiga lagi janji MoU

Iklan
Gambar hiasan

SHAH ALAM- Selepas Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan larangan ahli Parlimen bertukar parti diluluskan pada Khamis, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menuntut agar tiga lagi janji dalam Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan dan PH segera dilaksanakan.

Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan memaklumkan, dengan lulusnya pindaan Perlembagaan itu, maka 15 daripada 18 perkara yang dipersetujui dalam MoU berkenaan telah dilaksana atau bersamaan 83.3 peratus.

Iklan
Iklan

"Majlis Presiden mengambil maklum kenyataan Perdana Menteri dua hari lalu bahawa satu MoU baharu tidak akan ditandatangani. Ini bermakna MoU yang dimeterai pada 13 September 2021 akan terus berkuat kuasa selagi mana Parlimen ke-14 belum dibubarkan, seperti mana yang dinyatakan dalam Perkara 2.1 MoU.

"Pada waktu ini, tiga perkara yang masih perlu dilaksanakan adalah mengehadkan jawatan Perdana Menteri kepada tidak lebih 10 tahun.

Iklan

"Selain itu, membentang dan meluluskan RUU Perkhidmatan Parlimen serta pindaan kepada Peraturan Mesyuarat Parlimen bagi memastikan prosiding Dewan Rakyat dan Dewan Negara berjalan dengan lebih teratur dan lancar.

"Pada masa yang sama, Perkara 4 iaitu kebebasan institusi Kehakiman perlu terlaksana sepanjang masa,” jelas kenyataan itu pada Jumaat.

Iklan

Majlis Presiden PH juga telah mengarahkan wakil-wakil PH dalam Jawatankuasa Pemandu MoU agar mengadakan mesyuarat pada kadar segera bersama wakil-wakil kerajaan.

Ia bagi membincangkan beberapa Perkara di dalam MoU yang masih berbaki, di samping meneliti perkara-perkara yang dinyatakan Perdana Menteri termasuk berkait pendanaan politik.

Dalam masa sama, mereka berasa amat gembira dan berbangga apabila RUU pindaan Perlembagaan melarang ahli Parlimen bertukar parti telah diluluskan dengan sokongan 209 ahli Parlimen pada Khamis.

Jumlah ini adalah bersamaan dengan sokongan sebanyak 95 peratus manakala lima peratus atau 11ahli Parlimen tidak hadir.

"Pindaan Perlembagaan yang sangat bersejarah ini adalah satu kemenangan besar untuk rakyat Malaysia. Ia merupakan salah satu tiang seri kepada MoU antara kerajaan dan PH.

"PH percaya dengan lulusnya pindaan Perlembagaan semalam (Khamis), maka keyakinan rakyat terhadap proses pilihan raya dan demokrasi itu sendiri akan mulai pulih.

"Namun begitu, masih banyak yang perlu dilakukan untuk memperbetul keadaan politik dan demokrasi di dalam negara serta menjamin episod khianat seperti Langkah Sheraton tidak akan berlaku lagi di masa hadapan,” katanya.