ALOR SETAR – Dalam tempoh lebih kurang sejam, seorang usahawan berjaya mengagihkan kira-kira 1,000 kilogram pisang yang disumbangkan secara percuma kepada seluruh masjid di sekitar Kedah.
Ketua Pegawai Eksekutif SG Energy Sdn Bhd, Izzul Sali Md Ali berkata, inisiatif pemberian pisang percuma itu bertujuan untuk berkongsi rezeki dengan masyarakat melalui hasil tanaman diusahakan di dua ladangnya iaitu SG Plantations di daerah Pokok Sena dan Pendang.
Beliau berkata, pihaknya mula mengedarkan buah pisang bermula jam 10 pagi dan sambutan diterima di luar jangkaan, malah ada wakil masjid yang datang mengambil buah pisang dan dimasukkan ke dalam kotak sejak Khamis.
"Kami mengambil inisiatif memberi sedekah buah berkenaan kepada masjid untuk disalurkan kepada masyarakat setempat.
"Sebenarnya, kami baru mula memberi sedekah rezeki diberikan ALLAH SWT untuk dikongsikan kepada masjid sejak Jun lepas, sebelum diteruskan pada hari ini (Jumaat),” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Sebanyak 1,000 kilogram (kg) pisang diagihkan kepada masjid di Kedah pada Jumaat untuk disalurkan kepada masyarakat setempat.