SEREMBAN - Calon PH PRK DUN Rantau, Dr S Streram menafikan tidak fasih berbahasa Melayu seperti yang didakwa pihak tertentu.
Namun pakar bius itu mengakui ada sesetengah perkataan yang beliau tidak memahaminya secara mendalam.
"Saya tiada masalah cakap Melayu. Sepanjang kempen bertemu pengundi DUN Rantau, saya akan cakap Melayu dengan selesa.
"Tapi saya tak nafikan ada perkataan yang saya lemah dan bersedia untuk membaikinya dari semasa ke semasa," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada tinjauan mesra di Taman Sendayan Indah di sini, hari ini.
Menurutnya, bahasa komunikasinya dengan keluarga adalah Bahasa Inggeris tetapi itu bukan bermakna beliau tidak menguasai Bahasa Melayu.
Beliau berkata, sebagai seorang doktor juga dia lebih banyak berkomunikasi dalam Bahasa Melayu dengan pesakitnya yang berbilang kaum.
Pada masa sama Streram turut menafikan dakwaan beliau bersifat perkauman.
"Sebagai doktor, saya selalu bertemu dengan pesakit berbilang kaum dan beri rawatan tanpa lihat bangsa dan agama.
"Saya pun ramai kawan Melayu di DUN Rantau. Jadi, saya tak tahu macam mana timbul cerita yang saya 'racist'," katanya.