Kelvin Yii ketua baharu Angkatan Muda Harapan

Iklan
Kelvin Yii (depan, dua dari kanan) bergambar bersama kepimpinan baharu Angkatan Muda Harapan.

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Kuching yang juga Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Dr Kelvin Yii Lee Wuen dipilih sebagai ketua baharu Angkatan Muda Harapan.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, sayap pemuda Pakatan Harapan (PH) itu berkata, kepimpinan baharu tersebut terdiri daripada empat Timbalan Ketua iaitu Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Nasional, Mohd Hasbie Muda dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abdul Halim.

Iklan
Iklan

Dua lagi, ialah Ketua Wanita Muda Amanah, Nurthaqaffah Nordin dan Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Felix Joseph Saang.

Jawatan Naib Ketua pula akan diisi oleh Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional, Nik Abdul Razak Nik Md Ridzuan; Timbalan Ketua DAPSY, Young Syefura Othman; Timbalan Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim dan Timbalan Ketua Pemuda UPKO, Kennedy John Angian.

Iklan

Sementara itu, Timbalan Speaker Amanah, Musaddeq Khalid akan memegang peranan sebagai Setiausaha manakala Biro Penerangan pula disandang oleh Muhammad Haziq Azfar Ishak.

Dalam kenyataan sama, Angkatan Muda Harapan melahirkan komitmennya untuk mengekalkan perpaduan antara komponen khususnya bagi mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Iklan

"Kami juga terus bertekad membina keyakinan anak muda untuk konsisten membawa nafas politik baharu, politik mementingkan rakyat, politik yang berteraskan dasar dan solusi serta menyemarakkan politik progresif pelbagai bangsa dan faham agama,” menurut kenyataan itu.

Angkatan Muda Harapan terdiri daripada AMK, DAPSY, Pemuda Amanah Nasional, Wanita Muda Amanah Nasional (Warda), Pergerakan Pemuda UPKO dan Pergerakan Generasi Muda UPKO.

Pada masa sama, Angkatan Muda Harapan mengumumkan menganjurkan Jelajah Harapan Anak Muda yang akan bermula di Kota Bharu, Kelantan pada 13 Ogos ini bagi membangkitkan antaranya isu kebajikan pekerja gig ekonomi dan kos sara hidup.

"Jelajah Harapan Anak Muda ini bukan sahaja sebagai medan pencerahan dan penerangan secara konvensional tetapi bagi menjalankan komitmen Angkatan Muda Harapan untuk terus bersama dengan anak muda, mengangkat aspirasi mereka melalui suara hati nurani anak muda,” kata kenyataan itu.