JPN tidak pernah lantik ejen pendaftaran MyKad

Iklan
GEORGETOWN - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menegaskan pihaknya tidak pernah melantik mana-mana individu atau ejen untuk mewakili jabatan itu dalam menjalankan kerja pendaftaran dokumen pengenalan diri (MyKad).

Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, berdasarkan aduan diterima, ejen atau individu mengaku boleh mendapatkan MyKad itu mengenakan caj yang mahal iaitu antara RM2,000 hingga RM5,000.

"JPN memohon kerjasama orang ramai untuk segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mereka ditawarkan dengan perkhidmatan sedemikian kerana kami tidak pernah langsung melantik mana-mana individu atau ejen untuk membuat kerja-kerja bagi pihak JPN terutama untuk proses mendapatkan kad pengenalan.

"Walaupun aduan yang diterima itu tidaklah banyak atau dalam kategori serius, namun saya memandang serius kerana memang ada yang menjadi mangsa kepada individu atau ejen tersebut sehingga mengalami kerugian ribuan ringgit," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Beliau ditemui selepas Majlis Penyerahan Mykad kepada seorang wanita warga emas, R Alliamah, 64, yang baru memperoleh Mykad selepas mengalami masalah daftar lewat kad pengenalan, yang diadakan di pejabat JPN Pulau Pinang, di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Ruslin berkata, beliau meminta orang ramai yang mahu membuat pendaftaran dokumen pengenalan diri atau sebarang dokumen berkaitan dengan JPN untuk terus datang ke pejabat JPN yang terdapat di 225 lokasi termasuk Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh negara.

"Paling ramai jadi mangsa adalah dalam kalangan mereka yang mempunyai anak tidak sah taraf kerana mereka takut untuk berurusan dengan JPN sendiri kononnya akan didakwa di mahkamah atau saman kerana anak luar nikah.

"Sebenarnya tidak ada seperti itu (didakwa di mahkamah).. kami di JPN akan sedaya upaya membantu mendapatkan dokumen untuk anak mereka malah jika lambat pendaftaran kelahiran pun hanya dikenakan denda RM50 sahaja," katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak mahu ada anak-anak warga Malaysia yang tercicir sehingga tidak mendapat dokumen pengenalan diri dan Mykad, jadi sebab itu JPN secara berterusan akan terus memberikan perkhidmatan supaya mereka mendapat dokumen yang sah sebagai warga negara.

"Selain itu, kami juga ada pasukan khas menerusi program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) yang mereka ini akan pergi sendiri berjumpa dengan mereka yang mahu memohon MyKad membabitkan golongan warga emas, orang kurang upaya (OKU), pesakit terlantar, pesakit mental dan pesakit kronik yang sukar hadir ke JPN," katanya. - Bernama