Mayat dalam plastik ada kesan cedera di kepala

Iklan

PUCHONG - Terdapat kesan cedera di kepala pada mayat yang ditemui dalam bungkusan plastik sampah di Seksyen 1 Bandar Kinrara, pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, hasil bedah siasat ke atas mayat berkenaan didapati ada kesan cedera di kepalanya dipercayai dipukul dengan objek tumpul.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mayat tersebut merupakan seorang lelaki dipercayai warga asing dan ketika mayatnya ditemui keadaannya adalah tidak berpakaian, dibalut dengan kain selimut dan dibungkus dalam plastik lut sinar dan kain berwarna hitam.

Berdasarkan keadaan mayat, dipercayai telah mati dua hingga tiga hari sebelum ditemui semalam (kelmarin)," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Iklan

Ismadi berkata, berikutan penemuan mayat itu, polis telah menahan dua lelaki Bangladesh di sekitar Serdang pada awal pagi semalam dan kedua-duanya telah direman sehingga Isnin depan.

"Kedua-dua suspek berusia lingkungan 30-an dan siasatan lanjut sedang giat dijalankan. Motif kejadian juga sedang disiasat," katanya.

Iklan

Pagi kelmarin, seorang pekerja pembersihan terkejut apabila menemui bungkusan plastik yang disangka sampah rupa-rupanya mengandungi mayat di depan sebuah premis perniagaan.