Tindakan pantas LUAS berjaya kesan pencemaran

Iklan
Tindakan pantas Luas berjaya mengesan pencemaran susulan kemalangan jalan raya pada Khamis

SHAH ALAM - Tindakan pantas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berjaya mengesan pencemaran susulan satu kes kemalangan jalan raya yang berlaku pada Khamis.

Kemalangan melibatkan dua buah lori masing-masing membawa muatan minyak sawit dan tanah di Kilometer 36.8 arah utara Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) kira-kira jam 3.30 petang.

Iklan
Iklan

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, kemalangan menyebabkan berlaku tumpahan minyak sawit.

Menurut Loy Sian, tumpahan tersebut kemudiannya dikesan memasuki sistem saliran berdekatan sebelum mengalir ke Sungai Semarang dan kemudian ke Sungai Langat.

Iklan

"Jarak lokasi kawasan yang telah dimasuki tumpahan berkenaan berhampiran dengan muka sauk loji rawatan air (LRA) Bukit Tampoi sekitar 700 meter.

"Atas langkah pencegahan dan kawalan, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengaktifkan henti tugas LRA berkenaan bagi mengelakkan pencemaran.

Iklan

"Bagaimanapun, berdasarkan rekod, tiada gangguan bekalan air dilaporkan oleh pihak Air Selangor," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, katanya, LUAS kemudiannya mengaktifkan Kod Merah berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air bagi siasatan secara menyeluruh di kawasan terlibat yang berisiko.

Menurutnya, langkah pencegahan awal turut dibuat PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dengan meletakkan 25 beg serbuk kayu (saw dust) di lokasi kemalangan sebagai inisiatif pencegahan mengekang insiden daripada bertambah teruk.

"Pensampelan turut dilakukan oleh LUAS di tiga lokasi berbeza di bahagian hulu, longkang lebuh raya dan hilir sungai.

"Hasil pensampelan yang dijalankan di lebuh raya menemukan tumpahan minyak bertakung di dalam longkang lebuh raya selain pensampelan di hilir sungai menemukan kesan sisa minyak di tepi dinding longkang.

"LUAS meneruskan siasatan dan pensampelan di kawasan hilir dan hulu muka sauk Bukit Tampoi sehingga jam 3.20 pagi Jumaat," katanya.

Hasil siasatan mendapati tiada sebarang kesan minyak ditemui di kesemua titik pensampelan.

"Kerja-kerja pembersihan dan penyedutan masih lagi dijalankan oleh premis terlibat dan ini sedang dibantu oleh LUAS melalui kontraktor yang dilantik.

"Pemantauan rapi dari semasa ke semasa diteruskan oleh LUAS bersama pihak-pihak terlibat bagi memastikan sumber air negeri Selangor terus terpelihara," tambahnya.