ALOR SETAR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah menyasarkan kutipan bidaan nombor pendaftaran KES 1 hingga KES 9999 mencecah RM1.5 juta.
Pengarahnya, Ismasuhaimi Shariff berkata, ini berdasarkan rekod sebelum ini yang mampu meraih sehingga RM4.13 juta untuk siri nombor pendaftaran KEN.
Menurutnya, antara siri nombor pendaftaran dengan kutipan tertinggi di negeri ini termasuklah, KEE sebanyak RM1.87 juta dan KER (RM1.16 juta).
"Tender tempahan bagi siri nombor pendaftaran kenderaan KES 1 hingga KES 9999 dibuka kepada orang ramai bermula semalam hingga 15 April ini.
"Kami yakin kutipan bidaan mencecah RM1.5 juta bagi keseluruhan nombor siri itu, susulan sambutan memberangsangkan bagi siri nombor pendaftaran lalu,” katanya, pada sidang media, hari ini.
Ismasuhaimi berkata, bidaan tertinggi bagi ketiga-tiga siri nombor terbabit yang direkodkan adalah KEN 1 sebanyak RM510,000, diikuti KEE 1 (RM308,000) dan KER 1 sebanyak RM132,000.
"Terdapat empat kategori harga tempahan ditetapkan kepada orang ramai yang mahu menempah nombor pendaftaran KES.
"Bagi kategori nombor bernilai utama, harga minimum untuk tender adalah RM10,000 manakala harga minimum bagi kategori nombor menarik adalah RM2,000,” katanya.
Beliau berkata, harga tempahan sebanyak RM300 dikenakan kepada individu yang mahu membeli nombor pendaftaran bagi kategori nombor popular dan nombor biasa.
"JPJ tidak pernah melantik mana-mana individu bagi menguruskan urusan tempahan nombor pendaftaran, semua urusan adalah secara terus antara orang ramai dan JPJ,” tegasnya.
Ismasuhaimi berkata, mereka yang berminat boleh mengemukakan tempahan kepada Pengarah JPJ Kedah serta mengikuti panduan serta syarat-syarat berkaitan yang boleh dilayari di laman sesawang JPJ, http://www.jpj.gov.my/.
"Sejak tempahan siri nombor pendaftaran KES dibuka semalam, kami sudah menerima tempahan memberangsangkan, dan dijangka akan meningkat sehingga tarikh tutup,” katanya.
Sementara itu, JPJ Kedah akan mengadakan majlis lelongan awam membabitkan 30 buah kereta klon yang disita, pada 28 April ini.
"Lelongan kereta klon ini adalah julung kali diadakan oleh JPJ.
"Selain kereta klon, kita juga akan melelong 10 buah kereta yang disita dan sah milikannya, namun tidak dituntut pemilik hampir setahun dan kesemua kenderaan ini sudah mendapat perintah lucut hak daripada mahkamah,” katanya.
Turut dilelong termasuk dua buah motosikal yang pernah disita JPJ.
"Semua kenderaan yang dilelong adalah yang disita menerusi operasi JPJ sejak 2016,” katanya.
Ismasuhaimi berkata, pembida yang berminat perlu membeli senaskhah buku panduan atau katalog pada harga RM50, yang memaparkan jenis kereta dilelong.
"Antara kenderaan klon yang dilelong adalah dari jenis Toyota Vios, Honda Odyssey, Mazda 3 serta Mini Cooper.
"Harga rizab JPJ bagi kenderaan ini bermula dari RM4,000 hingga RM15,000, tertakluk kepada jenis kenderaan,” katanya.