KUALA LUMPUR - Pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mewujudkan peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti atau lebih sinonim dengan istilah ‘lompat parti’, adalah kemenangan besar untuk rakyat, sekali gus menjamin kestabilan politik dan ekonomi negara.
Pensyarah di Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, keputusan bersejarah, yang mendapat sokongan majoriti ahli dewan itu sangat signifikan untuk rakyat, dalam memastikan setiap undi diberikan mereka tidak dikhianati selepas pilihan raya.
Menurutnya pindaan itu juga bermakna, rakyat kini tidak lagi perlu menjadi mangsa serta menerima impak secara langsung atau tidak langsung disebabkan permainan ‘katak politik’ yang mencetuskan ketidakstabilan politik.
"Kita telah hadapi situasi perubahan kerajaan, Perdana Menteri yang kerap dalam tempoh yang singkat. Ini sesuatu yang tidak pernah kita lalui sebelum ini, antara lain disebabkan lompat parti.
"Ini telah wujudkan ketidakstabilan politik dan ekonomi. Pindaan ini sangat signifikan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Sekarang, kita cuma perlu tunggu proses untuk mewartakan sebagai undang-udang dan saya jangka kita dapat laksanakannya menjelang Januari tahun depan,” katanya kepada Bernama.
Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 memperoleh masing-masing sokongan 209 daripada 220 ahli Parlimen selepas dua kali undi belah bahagian dilakukan, iaitu lebih dua pertiga persetujuan Ahli Dewan Rakyat sementara 11 tidak hadir.
Antara lain, menurut pindaan itu, Ahli Dewan Rakyat yang keluar daripada suatu parti politik dalam suatu gabungan dan menyertai parti politik lain dalam parti gabungan sama atau berbeza, individu terbabit akan terhenti menjadi Ahli Dewan Rakyat serta perlu mengosongkan kerusi.
Selain itu, Ahli Dewan Rakyat yang bukan anggota mana-mana parti politik dan membentuk sesuatu gabungan parti politik juga, dianggap bertukar parti jika keluar daripada gabungan tersebut.
Selain itu, Mohd Azizuddin berkata, peruntukan baharu itu diharap dapat mewujudkan politik lebih matang di Malaysia, serta mengatasi isu politik wang yang sering dikaitkan dengan tindakan lompat parti apabila terdapat wakil rakyat yang lebih mengutamakan kepentingan peribadi.
Menurutnya, apabila pindaan tersebut diwartakan kelak, ia tidak akan mudah diubah kerana akan memerlukan sokongan dua pertiga Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Sementara itu, Pensyarah Sosiologi Politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Prof Dr Sivamurugan Pandian pula berpendapat, pindaan tersebut merupakan fasa pertama untuk mencapai proses demokrasi dan pembentukan struktur politik lebih baik untuk negara.
Sivamurugan berkata, untuk melengkapkan ‘resipi’ tersebut, tumpuan kini perlu diberikan untuk melakukan pindaan serupa di peringkat negeri bagi memastikan perkara itu terpakai kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), seterusnya menggubal undang-undang pendanaan politik secepat mungkin.
"Ini boleh memulihkan kepercayaan rakyat ke atas sesetengah wakil rakyat yang sebelum ini bersedia membelakangkan prinsip mereka dan kita semua boleh bergerak ke hadapan menerusi pindaan ini. Ini banyak bergantung kepada pelaksanaan dan selepas itu kita boleh melihat soal penambaikan,” katanya.
Dalam pada itu, Sivamurugan berkata, pindaan perlembagaan itu merupakan legasi pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hasil keazaman politik untuk melunaskan usaha transformasi politik seperti termaktub dalam Memorandum Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan Pakatan Harapan.
"Untuk rakyat yang sudah lesu, sudah penat dengan ‘politiking’ kini boleh lega,” katanya. - Bernama