TAIPING - Kerajaan diminta menyelesaikan masalah lambakan tayar dan tiub dalam kenderaan keluaran syarikat tempatan selepas terpaksa bersaing dengan produk yang diimport dari China.
Pengarah Everthrough Rubber Products Sdn Bhd, Johnny C H Ng berkata, masalah lambakan berkenaan berlaku sejak tiga tahun lalu dan mereka pernah menyuarakannya kepada kerajaan terdahulu, namun tiada sebarang tindakan diambil.
"Pengguna di negara ini telah bertukar menggunakan tayar dan tiub dari China kerana ia mudah dicari selain harganya yang murah berbanding produk tempatan.
"Tetapi ramai pengguna tidak tahu sejauh mana kualiti tayar tersebut dan adakah ia selamat berbanding produk yang dihasilkan oleh syarikat tempatan," katanya kepada pemberita pada satu sidang media, di sini, hari ini.
Tambahnya, produk tayar dan tiub dari China merupakan ancaman utama bagi sosio ekonomi industri dan pengeluar tempatan yang terlibat dalam bersaing secara sihat dengan meningkatkan kecekapan pengeluaran dan menurunkan harga produk.
"Walaupun kami menyediakan tawaran dan promosi istimewa, syarikat tempatan masih tidak mampu bersaing dengan harga rendah produk buatan China yang di bawa masuk ke negara ini," katanya.
Menurut Ng pihaknya juga mendapati dasar duti import produk tayar dan tiub dalam yang dikenakan kerajaan adalah antara lima hingga 30 peratus dan lebih malang lagi duti berkenaan dapat dikurangkan antara 0 hingga lima peratus dengan menggunakan Borang D dan E.
"Kita ambil contoh Bangladesh di mana mereka melindungi pengeluar tayar dan tiub tempatan dengan mengenakan duti import antara 35 hingga 65 peratus dan ini contoh terbaik untuk kerajaan kita ikut.
"Satu lagi masalah adalah di Malaysia kita mempunyai empat pemain industri utama menghasilkan tayar bagi kegunaan pertanian tetapi kerajaan masih mengimport produk terbabit sedangkan permintaan itu dapat dipenuhi oleh pengeluar tempatan," katanya.
Ng berkata sudah sampai masanya kerajaan hari ini memperkuatkan penguatkuasaan industri tayar dan tiub dalam di negara ini dengan melindungi pengeluar tempatan seperti dilakukan negara-negara jiran seperti Indonesia, Thailand, Vietnam dan Bangladesh.
"Kami berharap kerajaan akan melihat lebih serius masalah dihadapi pengeluar tempatan dengan mempertimbangkan memperketatkan sistem import tayar dan tiub dalam," katanya.