Pelarasan gaji penjawat awam telah dibuat sejak 2002

Iklan
Mohd Shafiq

SHAH ALAM - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah melaksanakan beberapa penambahbaikan gaji penjawat awam sejak Sistem Saraan Malaysia (SSM) diperkenalkan pada tahun 2002 yang melibatkan penetapan gaji permulaan terendah, pelarasan gaji dan penambahbaikan jadual gaji.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah berkata, sebagai contoh pada tahun 2016, faedah pemindahan gaji bersamaan Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) diberikan kepada penjawat awam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasil daripada pelbagai sesi libat urus dengan pihak yang berkepentingan, dasar-dasar berkaitan kebajikan penjawat awam termasuklah kemudahan bekerja dari rumah (BDR), waktu bekerja yang fleksibel (waktu bekerja fleksi), penambahbaikan kemudahan cuti (contoh cuti menjaga anak yang dikuarantin atau memerlukan pengasingan) dan elaun turut dipanjangkan kepada penjawat awam.

"Pada masa yang sama, JPA sentiasa prihatin dan terbuka dengan pandangan semua pihak yang berkepentingan berkaitan kebajikan penjawat awam melalui platform sedia ada seperti Majlis Bersama Kebangsaan (MBK), Majlis Bersama Jabatan (MBJ) dan sesi konsultasi secara berterusan dengan agensi-agensi Kerajaan dan kesatuan pekerja secara langsung dan tidak langsung,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai laporan media mengenai gesaan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) supaya Kerajaan menaikkan gaji penjawat awam sebelum Parlimen dibubarkan.

"Penambahbaikan berterusan berhubung dengan kebajikan penjawat awam yang merangkumi semakan saraan (gaji, elaun dan kemudahan) serta laluan kerjaya juga sedang dibuat secara holistik dengan mengambil kira kesesuaian dan situasi ekonomi serta kedudukan kewangan negara,” katanya.

Iklan

Jelasnya, JPA komited dalam memastikan kebajikan penjawat awam sentiasa terpelihara dan ditambah baik dari semasa ke semasa selaras dengan aspirasi keterangkuman Keluarga Malaysia.