GEORGETOWN - Bekalan air di Pulau Pinang tidak akan terjejas akibat air keruh dari Sungai Muda susulan banjir yang berlaku di Baling, Kedah pada Khamis.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir Jaseni Maidinsa bagaimanapun berkata, pihaknya akan terus memantau dengan teliti kekeruhan air mentah dari sungai berkenaan dalam tempoh beberapa hari akan datang bagi memastikan pengguna di negeri ini terus mendapatkan bekalan air.
Menurutnya, sehingga jam 5 petang Jumaat pihaknya mendapati air mentah Sungai Muda direkodkan pada paras selamat iaitu 224 NTU (unit kekeruhan nefelometrik).
"Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua yang menggunakan air mentah dari Sungai Muda untuk menghasilkan lebih 80 peratus air terawat yang dibekalkan di Pulau Pinang terus beroperasi secara optimum.
"Berkemungkinan besar operasi bekalan air di Pulau Pinang tidak akan terjejas akibat air keruh dari Sungai Muda, susulan banjir yang dilaporkan di Baling, Kedah semalam (Khamis)," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, Jaseni memaklumkan pihaknya bersiap siaga dan meneruskan operasi secara berjaga-jaga susulan paras kekeruhan air mentah di muka sauk Lahar Tiang, Sungai Muda, mencecah 261 NTU pada jam 11 pagi Jumaat.
Bagaimanapun katanya, setakat jam 1 tengah hari tadi, kapasiti pengeluaran LRA Sungai Dua berada pada tahap maksimum dan hasil pemantauan PBAPP mendapati tahap kekeruhan air mentah telah stabil dan situasi kembali normal, manakala NTU di muka sauk Lahar Tiang sudah turun kepada 228.
"Justeru, notis waspada yang dikeluarkan PBAPP telah ditamatkan. Hingga kini, operasi di LRA Sungai Dua adalah normal dan tidak terjejas," katanya.