KUALA LUMPUR - Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) menyasarkan untuk mengeluarkan jaminan bernilai RM5 bilion pada tahun ini dengan menjangka kadar pinjaman yang lebih tinggi oleh bank.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak berkata, sasaran itu dapat dicapai berikutan perbadanan telah mengeluarkan jaminan sebanyak RM2.3 bilion pada separuh pertama tahun ini.
"Semasa Covid, kami telah melaksanakan banyak (jaminan di bawah) Kemudahan Bantuan Khas serta Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar daripada Bank Negara.
"Bagi pasca Covid, kami bekerjasama dengan bank untuk menyediakan jaminan bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk meneruskan pemulihan dan menuju ke fasa seterusnya,” katanya kepada pemberita di luar acara Anugerah Institusi Kewangan/Pembangunan serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) CGC Ke-27 di sini pada Jumaat.
Turut hadir, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Mohd Zamree berkata, terdapat banyak PKS yang memerlukan modal kerja untuk pengembangan mereka atau pemulihan selepas Covid.
Beliau berkata, pinjaman dijangka digunakan oleh PKS dalam sektor runcit.
Pada 2021, CGC mengeluarkan jaminan berjumlah RM6.1 bilion, lebih tinggi daripada RM5.9 bilion yang dijamin pada 2020.
Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, CGC telah mengeluarkan jaminan berjumlah RM13.2 bilion untuk perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) dari April 2020 hingga Jun 2022. - Bernama