SKUAD terjun kebangsaan dibarisi antaranya ‘dua ratu’ Datuk Pandelela Rinong Pamg dan Nur Dhabitah Sabri berlepas ke temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam ini.
Turut menyertai dua nama besar itu Muhammad Syafiq Puteh, Ooi Tze Liang, Gabriel Gilbert Daim, Chew Yi Wei, Jellson Jabillin, Hanis Nazirul Jaya Surya, Bertrand Rhodict Lises, Ng Yan Yee, Kimberly Bong Qian Ping dan Ong Ker Ying.
Mereka diringi ketua jurulatih kebangsaan, Li Rui; penolong jurulatih, Li Junbai dan pengurus pasukan, Datuk Leong Mun Yee.
Skuad terjun akan menaiki pesawat Malaysia Airlines MH4271, dijadualkan berlepas pada 11.05 malam ini menuju ke Lapangan Terbang Heathrow, London sebelum berangkat ke Birmingham menjelang saingan di Pusat Akuatik Sandwell bermula 4 Ogos ini.
"Sekarang ini semua atlet berada dalam keadaan baik tanpa kecederaan dan harapnya apabila sudah sampai sana (London) tiada isu sakit untuk mereka beraksi cemerlang,” kata Mun Yee.
Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menyasarkan satu pingat emas bagi kem terjun negara selepas aksi cemerlang mereka pada Kejohanan Dunia 2022 di Budapest awal bulan ini.
Pada kejohanan itu, dua pingat gangsa diperoleh dalam acara 10 meter (m) platform wanita menerusi Pandelela Rinong dan 10m platform seirama wanita menerusi gandingan Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah.
Sabtu lepas, kelompok besar kontinjen Malaysia bertolak ke London yang terdiri daripada lebih 60 atlet dan pegawai, melibatkan sukan badminton, skuasy, olahraga, gimnastik artistik, judo, ping pong, powerlifting dan bola keranjang berkerusi roda.
Sukan Komanwel Birmingham bermula semalam sehingga 8 Ogos ini dengan penyertaan lebih kurang 6,500 atlet dari 72 negara dan Wilayah pada edisi kali ini. - Bernama