Peraduan Kumpul dan Menang terima lebih 10,000 penyertaan

Iklan
Soo Wincci (kiri), Jimmy Shanley (kanan) dan juri lain meneliti reka bentuk penyertaan peraduan. -Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

SHAH ALAM - Peraduan Kumpul dan Menang Sinar Harian Edisi Ketiga Kategori Penyertaan Kreatif mendapat sambutan menggalakkan daripada kalangan pembaca apabila menerima penyertaan terbanyak berbanding tahun sebelum ini.

Ketua Jabatan Pemasaran Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, sambutan peraduan tersebut menunjukkan perkembangan positif apabila menerima lebih daripada 10,000 penyertaan.

Iklan
Iklan

"Berbanding tahun-tahun sebelum ini, Peraduan Kumpul dan Menang pada tahun ini kembali rancak dengan penyertaan yang ramai daripada pembaca Sinar Harian.

"Bagi pertandingan kreatif, macam tahun lepas kita hanya mendapat kurang daripada 100 penyertaan, tetapi tahun ini kita mendapat lebih dua kali ganda bagi penyertaan tersebut,” katanya selepas sesi penjurian bagi Peraduan Kumpul dan Menang di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf pada Jumaat.

Iklan
Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Rozaid Rahman (kanan) dan Ketua Pegawai Operasi Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin (dua dari kanan) mencatat pemarkahan bagi reka bentuk penyertaan peraduan. -Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

Wajah baharu

Menurut Nik Justin, penilaian juri-juri akan mengetengahkan kriteria-kriteria berdasarkan tema peraduan pada tahun ini iaitu ‘Wajah Baharu, Perspektif Baharu’.

Iklan

"Setiap tahun, ada sahaja penyertaan kreatif di luar kotak. Malah kita ada beberapa penyertaan bukan dalam bentuk fizikal seperti video dan sebagainya.

"Saya rasa ini satu petanda yang baik di mana tahun ketiga kita mengadakan peraduan ini, pembaca semakin kreatif dan ingin menunjukkan bakat masing-masing. Jadi ia adalah satu perkara yang menepati objektif peraduan,” ujarnya.

Selain daripada itu, menurutnya, peraduan kali ini turut menampilkan pembaharuan dari segi barisan juri-juri bagi memastikan penilaian hasil kreativiti penyertaan dilakukan dengan lebih teliti dan menyeluruh.

"Tahun lepas, kita ada enam juri sahaja. Jadi tahun ini kita menambah 10 juri profesional di mana lapan daripada mereka datang daripada Sinar Karangkraf sendiri dan lagi dua adalah juri jemputan khas.

"Kriteria yang kami pilih adalah berdasarkan ketepatan mereka mengikut tema dan kami turut meneliti dari segi kreativiti, kekemasan, keunikan dan kelainan setiap penyertaan itu,” jelasnya.

Juri-juri lain mencatat pemarkahan bagi reka bentuk penyertaan peraduan. -Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

Fungsi dan matlamat rekaan

Menurut Profesor Madya Dr Soo Wincci yang juga juri jemputan khas, setiap hasil kreativiti yang dipersembahkan itu perlu mengetengahkan fungsi dan idea matlamat yang tersendiri.

"Saya menetapkan pemarkahan terhadap hasil seni yang canggih tetapi ada pemikiran sendiri. Pemikiran di mana bahawa semua benda yang direka ada fungsi dan matlamat, bukan sekadar kosong sahaja.

"Di luar negara, selalu ditanya kenapa perkara-perkara itu direka sedemikian, sebab semua benda kena ada maklumat dan isi tersirat.

"Saya harap penyertaan yang akan datang akan lebih kreatif dan menyelitkan teknologi dalam rekaan bukan seni semata-mata,” ulasnya.

Sementara itu, pengacara, Jimmy Shanley yang juga juri jemputan khas berkata, saingan penyertaan pada kali ini amat memberangsangkan kerana pemenang-pemenang bagi peraduan tahun lepas juga tidak ketinggalan menyertai lagi pada tahun ini.

"Tahun ini saya rasa lebih istimewa kerana daripada penyertaan yang dihantar, ada satu penyertaan ini lain daripada yang lain.

"Kerana kita ke arah digital, ada yang membuat (penyertaan berbentuk) video, ia boleh diperbaiki lagi tetapi itu antara inisiatif yang saya nampak dilakukan oleh peserta kali ini,” katanya.

Peraduan Kumpul dan Menang Sinar Harian Edisi Ketiga bermula pada 1 Jun sehingga 26 Julai ini sempena wajah baharu Sinar Harian.Ia turut menawarkan pelbagai hadiah menarik untuk dimenangi para pembaca dengan jumlah keseluruhan RM50,000.