Lelaki mengamuk cedera ditembak polis

Iklan

KLANG – Seorang lelaki bersenjatakan sebilah pisau cedera ditembak selepas menyerang polis dalam kejadian amuk di Bukit Tinggi, di sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, suspek berusia 41 tahun dan berasal dari Sabah sebelum itu bertindak memecahkan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) selepas berang kerana gagal mengeluarkan wang di sebuah bank berhampiran lokasi kejadian.

Mesin ATM rosak akibat dipecahkan suspek kerana gagal mengeluarkan wang.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya menerima maklumat daripada pengawal keselamatan suspek mengamuk kerana gagal mengeluarkan wang.

"Hasil siasatan awal, suspek datang ke bank untuk mengeluarkan wang daripada ATM kira-kira jam 12.30 tengah hari, namun terus mengamuk kerana dipercayai duit gaji belum masuk ke dalam akaun.

Suspek bertindak mengejar dan menyerang anggota URB dengan pisau.

Iklan

"Pengawal keselamatan cuba menenangkan suspek namun lelaki terbabit memberitahu akan datang semula ke bank itu jam 2 petang,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurut beliau, dua anggota unit rondaan bermotosikal (URB) segera ke lokasi kejadian selepas mendapat maklumat berhubung kejadian terbabit.

Iklan

"Ketika anggota URB tiba, suspek sudah berada di hadapan bank dan melihat kehadiran polis, suspek terus mengamuk serta mencaci anggota terbabit.

"Anggota cuba menenangkan suspek dan mengambil masa 20 minit untuk berunding. Namun proses rundingan gagal kerana suspek tidak dapat mengawal emosi dan secara tiba-tiba mengamuk serta mengejar salah seorang anggota,” katanya.

Mangsa rebah selepas terkena dua das tembakan di perut.

Shamsul Amar berkata, anggota polis terpaksa melepaskan empat das tembakan kerana suspek bertindak agresif dan cuba menikam anggota menggunakan pisau berukuran tujuh inci.

"Suspek bertindak melarikan diri kira-kira empat meter dan rebah selepas terkena dua das tembakan.

"Suspek yang cedera di bahagian perut dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk rawatan lanjut dan disahkan stabil,” katanya.

Ujar beliau, hasil pemeriksaan menemui satu paket serbuk putih disyaki dadah dalam beg suspek.

"Suspek dipercayai dalam pengaruh dadah dan hasil semakan mendapati, suspek mempunyai empat rekod lampau berkaitan kes dadah.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya.