Suara latar Zhafran Umar tarik perhatian

Iklan
Zhafran Umar bergambar dengan bekal hidangan sihat yang dihasilkan selepas tular di laman sosial kerana suara latarnya ketika ditemui di Seksyen 7. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Suara latar milik si cilik, Zhafran Umar Zulfikri Zaki yang berusia tiga tahun dalam video bekal sihatnya mencuit hati pengguna laman sosial.

Walaupun ada perkataan tertentu yang disebutnya masih telor, kepetahannya menghiburkan sesiapa sahaja yang menonton video berkenaan.

Iklan
Iklan

Perkongsian video idea bekal sihat untuk si kecil itu yang dikongsikan ibunya, Nurul Azren A Razak, 30, di TikTok dan Instagram, telah pun mempunyai ratusan ribu pengikut serta ditonton oleh jutaan pengunjung yang inginkan tip hidangan sihat untuk si anak kecil.

Nurul Azren ketika dihubungi Bernama berkata beliau telah berkongsi video hidangan sihat menerusi laman sosial itu sejak Zhafran Umar berusia enam bulan dan pada peringkat awalnya beliau tidak menggunakan sebarang suara latar.

Iklan

"Selepas anak saya mula dihantar ke taska pada tahun ini, saya teruskan perkongsian video hidangan sihat tapi lebih menjurus kepada bekal untuk dia bawa ke taska atau apabila keluar berjalan.

Setiap kali saya buat video, dia ada bersama hingga satu ketika dia ingin tahu apa yang saya lakukan.

Iklan

"Saya cuba merakam suaranya dan apabila ‘dimainkan’ semula, dia seronok mendengar suara sendiri.

Saya tidak menyangka sejak menggunakan suara latar anak sendiri, ia menjadi tarikan dan menimbulkan minat ramai untuk menonton video yang saya kongsikan,” katanya baru-baru ini.

Nurul Azren (kanan) membantu Zhafran Umar semasa menghasilkan bekal hidangan sihat selepas mereka tular di laman sosial kerana suara latar Umar ketika ditemui di Seksyen 7. - Foto Bernama

Anak kelahiran Mersing, Johor itu berkata antara menu pilihan bekal sihat yang menggunakan resipi sendiri itu ialah pasta labu, nuget tauhu kentang dan wrap telur dengan setiap menu dipotong mengikut dekorasi tertentu selain bekas yang berwarna-warni bagi menarik selera makan anaknya.

Nurul Azren yang juga pereka grafik sambilan berkata lazimnya beliau terlebih dahulu akan menyiapkan suntingan video sebelum berkongsi kepada anaknya yang kemudian akan menyebut sendiri jenis makanan dalam bekal sihat itu.

"Dia sudah kenal kebanyakan setiap jenis menu dalam bekal yang saya sediakan, kalau ada yang tidak tahu saya bantu sebut dan dia turuti.

Ada juga perkataan yang dia tambah secara spontan seperti ‘nyum-nyum’ yang menjadi ‘trademark’ pada setiap video,” katanya dan menambah proses merakam suara akan dilakukan dalam tempoh kurang daripada lima minit.

Selain video bekal sihat, Nurul Azren berkata beliau turut berkongsi video aktiviti yang sering dilakukan oleh anaknya dan boleh ditiru oleh ibu bapa untuk kanak-kanak seusianya yang lain bagi membantu meningkatkan skil motor, fokus dan perbendaharaan kata. - Bernama