Perbincangan dengan Cuepacs Isnin ini: KSN

Iklan
Mohd Zuki

KUALA TERENGGANU - Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Adnan Mat pada Isnin ini (1 Ogos).

Katanya, perbincangan itu dijangka antara lain akan menyentuh mengenai desakan kongres tersebut yang meminta kerajaan supaya segera menunaikan tuntutan berkaitan gaji penjawat awam.

Iklan
Iklan

"Saya akan berbincang dengan presiden Cuepacs pada hari Isnin ini untuk melihat, mengkaji dan meneliti permohonan yang dibuat oleh Cuepacs,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Sambutan Maal Hijrah Tahun 1444H/2022M Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Besar Wisma Darul Iman, di sini pada Sabtu.

Pada majlis tersebut Mohd Zuki yang berasal dari Kampung Bukit Bayas di sini, menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah sempena sambutan tersebut.

Iklan

Adnan baru-baru ini berkata pihaknya merayu kepada kerajaan supaya segera menunaikan tuntutan berkaitan gaji penjawat awam iaitu pelaksanaan kenaikan gaji minimum penjawat awam RM1,800; menaikkan dua tahap Kenaikan Gaji Tahunan (KGT); dan melaksanakan sistem saraan baharu yang lebih komprehensif, adil serta saksama.

Katanya, ia penting bagi meringankan beban penjawat awam terutama kumpulan pelaksana yang semakin terbeban dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup.

Iklan

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah pada Jumaat dilaporkan berkata pihaknya sudah melaksana beberapa penambahbaikan gaji penjawat awam sejak Sistem Saraan Malaysia (SSM) diperkenal pada 2002, membabitkan penetapan gaji permulaan terendah, pelarasan gaji dan penambahbaikan jadual gaji.