Fahami makna, tema dan mesej puisi

Iklan
Foto hiasan 123RF. ( Gambar dalam : Rahman Shaari )

DALAM penulisan puisi, kata-kata tidak hanya membawa makna seperti yang dimaksudkan dalam kamus, sebaliknya kerap beranjak ke makna lain.

Teori Anjakan Makna (The Meaning Shift Theory) menegaskan bahawa makna perkataan tidak berada di tempat yang tertentu tetapi beranjak mengikut keperluan.

Iklan
Iklan

Bagi menjelaskan hal di atas, kita perhatikan sajak Award karya Alice Walker. Saya turunkan sajak ringkas itu:

Though not a contest

Iklan

Life is the award

And we have won.

Iklan

(Dipetik daripada buku Absolute Trust in the Goodness of the Earth, karya Alice Walker, halaman 105).

Sebelum membaca sajak tersebut, kita menganggap hadiah atau anugerah hanya diperoleh apabila ada pertandingan.

Hadiah adalah sesuatu berharga diberikan kepada sesiapa yang kita hargai atau sayangi.

Alice Walker memberikan satu sisi pandangan lain. Katanya, kehidupan ini sendiri adalah anugerah dan kita dianggap sudah pun menang. Terpulanglah pada tafsiran kita sendiri tentang kemenangan yang kita capai.

Hanya orang yang tidak bersyukur akan mengatakan hidup ini sia-sia.

Sajak tersebut mengubah makna ‘hadiah biasa’ seperti plak atau barang atau wang, menjadi kehidupan.

Jelaslah bahawa Alice Walker menggunakan perkataan yang membawa makna fizikal tetapi membawa maksud luas.

Berkaitan puisi, definisi Robert Frost yang terkenal ialah ‘Puisi adalah ketika emosi telah menemui pemikirannya dan pemikiran telah menemui kata-katanya.’ Definisi itu amat dipersetujui oleh Rudyard Kipling.

Perhatikan kedudukan tiga perkara yang berkaitan iaitu emosi, pemikiran dan kata-kata.

Tanpa emosi, puisi tentulah kering dan tidak bermaya. Tanpa pemikiran puisi menjadi sesuatu yang sia-sia.

Oleh itu, penyair perlu memiliki keupayaan berbahasa yang menggandingkan, malah menyebatikan emosi dan pemikiran.

Apabila emosi berpadu dengan pemikiran dan penyair berupaya menyatakannya dengan kata-kata serta susunan yang terbaik, maka puisi akan cemerlang.

Setelah menyebutkan kata-kata terbaik dan susunan terbaik, tentulah kita teringatkan Samuel Taylor Coleridge.

Coleridge yang mengatakan prosa seperti cerpen ialah words in the best order tetapi puisi ialah the best words in the best order.

Penuhi kehendak

Pembicaraan tentang the words dan the best words pun mengambil masa yang panjang.

Dalam karya prosa, pengarang berpuas hati apabila kata-kata digunakannya dapat memenuhi kehendak cerita dan mesej.

Itulah maksud Coleridge apabila dia menyebutkan the words.

Dalam karya puisi, penyair mencari kata-kata yang berupaya membina bangunan kesenian paling tinggi.

Penyair tulen memahami usaha ini. Itulah the best words yang disusun menjadi susunan terbaik (the best order).

Definisi-definisi bersifat figuratif adalah sesuai dengan puisi yang bersifat simbolik dan metaforikal.

Memang ada puisi yang bergantung pada pemilihan kata-kata berbunga-bunga tetapi isinya bertahap permukaan.

Peminat dan pendukung puisi moden yang sejati tidak menyukai puisi demikian, walaupun selalunya mereka tidak menolaknya secara keseluruhan.

Sajak-sajak yang hanya bergantung pada bunga bahasa sesuai dengan pemula dalam bidang puisi.

Makna puisi bertolak daripada makna biasa. Misalnya, perkataan ‘jendela’ diketahui maknanya.

Jadi, baris sajak Sri Diah ‘Siapa itu yang mengintai di balik jendela?’ mendorong kita membayangkan jendela yang literal iaitu jendela yang betul-betul.

Baris kedua ‘saat kita mencari diri dengan ramah, dalam santun’ menyebabkan kita mula mengetepikan makna literal itu. Di sinilah berlakunya anjakan makna. Apakah maksud ‘jendela’ dalam konteks di atas?

Setelah mengetahui maksudnya, barulah kita memahami maksud keseluruhan sajak berkenaan.

Sekarang kita baca keseluruhan rangkap pertama sajak Sri Diah yang berjudul Di Balik Jendela. (Sri Diah, Amukan Hati, halaman 31).

Siapa itu yang mengintai di balik jendela?

Saat kita mencari diri

dalam ramah, dalam santun

dan memilih moleknya untuk diam

tunduk dan akur.

Selaku manusia, apatah lagi manusia pemikir, soal mencari diri adalah biasa. Akal manusia pemikir akan mengembara jauh apabila bersua dengan persoalan.

Itulah sebabnya muncul ahli falsafah yang mengemukakan idea sosialisme, eksistensialisme dan lain-lain. Rangkap pertama sajak di atas mencadangkan agar kita tidak terlalu memberontak dalam pencarian.

Rangkap kedua sajak ini menyebutkan ‘malaikat’, menandakan penyair menyandarkan pemikirannya pada agama.

Ada kelibat di balik jendela

mengingatkan tentang rasa

mengingatkan tentang pesan

Malaikat ada di mana-mana.

Kita mula memikirkan ‘jendela’ secara lebih serius. Penyair seakan-akan dapat melihat sesuatu tetapi kemudian dia mengatakan sesuatu itu datangnya daripada ‘rasa’ (naluri keagamaan) dan daripada ‘pesan’ (ajaran agama).

Jadi, jendela yang konkrit tiada di situ. Yang ada ialah tingkap akal yang terbuka.

Sajak ini berakhir dengan rangkap menyarankan rasa keagamaan lebih tebal:

Benar. Di balik jendela ada sesuatu

mengintai, menyusup dalam diam

dengan pandangan tanpa batas

ALLAH!

Perkataan ‘jendela’ mewakili ruang akal dan perasaan. Adalah satu hakikat diri manusia memiliki akal dan perasaan, dan kedua-duanya terpancar seolah-olah dari luar diri.

Jadi, unsur yang mengintai protagonis (diri penyair) ialah fikiran dan perasaan penyair sendiri.

Jendela ada di dalam diri. Cantuman akal dan perasaanlah yang mengintai protagonis dari jendela dalam diri.

Maksud ‘jendela’ masih mungkin beranjak lagi, namun analisis sejauh ini sudah pun berupaya menjelaskan maksud sajak.

Dengan menetapkan maksud jendela, pembaca tentulah memahami keseluruhan sajak itu.

Teori Anjakan Makna tidak menetapkan makna pada kemutlakan. Orang lain mungkin menganggap penyair bermaksud mengatakan ALLAH memerhatikan perlakuan manusia dan pemerhatian itu diibaratkan bertolak daripada jendela yang abstrak.

Emosi dan pemikiran dipaparkan Sri Diah adalah berpadanan. Oleh itu, kedudukan sajak itu menyamai tanggapan tentang puisi dikemukakan oleh Robert Frost.

Apabila kita mengukurnya dari sudut definisi S T Coleridge, kita dapati kata-kata dipilih dan diatur oleh penyair memang serasi untuk mewujudkan binaan puisi yang baik.

Ketika membaca mana-mana puisi, kita sentiasa mencari tema dan mesejnya. Tema ialah adunan makna dan maksud. Mesej ialah pengajaran.

Sajak Sri Diah membawa tema tingkah laku dan segala perbuatan manusia tidak terlepas daripada pemerhatian Yang Maha Kuasa.

Mesej sajak ini ialah perlunya manusia menjaga dan membina keperibadian yang baik.

* Datuk Rahman Shaari ialah seorang penyair dan Sasterawan Negara ke-15.