Sinar Harian kekal jadi wadah perkasa suara rakyat

Iklan
Farah Hussamuddin

SHAH ALAM - Berdiri teguh selama 16 tahun, Sinar Harian akan terus kekal menjadi wadah berita yang telus dan tulus dalam membawa dan memperkasakan suara rakyat Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin berkata, kekuatan akhbar berbahasa Melayu nombor satu paling dipercayai di Malaysia itu adalah terletak pada pengisian beritanya yang memfokuskan kepada suara, keluhan, komentar dan permasalahan rakyat.

Iklan
Iklan

"Inilah kekuatan Sinar Harian yang sebenar. Ia adalah jenama yang dekat dengan masyarakat Malaysia selama 16 tahun.

"Daripada mula bertapak hingga sekarang, setiap pengisian yang dikeluarkan bertujuan memperkasakan suara rakyat untuk Sinar Harian kekal relevan,” katanya kepada Sinar Ahad.

Iklan

Beliau berkata, selama 16 tahun, Sinar Harian membuktikan ia mampu bergerak pantas seiring dengan era digitalisasi.

Jelasnya, Sinar Karangkraf menjadi antara peneraju media tempatan terawal yang melakukan transisi daripada bercetak ke digital.

Iklan

"Ini terbukti apabila Sinar Harian berjaya merangkul anugerah gangsa bagi kategori Best Use of Mobile di malam anugerah Persatuan Digital Malaysia (MDA) pada 12 Mei lalu,” katanya.

Kongsi beliau, 16 anugerah yang diterima daripada pelbagai pihak dalam tempoh dua tahun ini membuktikan akhbar itu semakin mendapat tempat di hati seluruh rakyat Malaysia.

"Antara momen yang harus dibanggakan adalah apabila Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd dipilih sebagai penerima Anugerah Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2022 dan kita juga berjaya memenangi Anugerah Kajai iaitu anugerah kewartawanan tertinggi di Malaysia,” ujarnya.

Mengulas mengenai portal berbahasa Inggeris pertamanya iaitu Sinar Daily yang dilancarkan pada 1 Januari lalu, Farah berkata, sudah tiba masanya untuk syarikat meningkatkan penglibatan pelbagai peringkat audiens.

"Walaupun majoriti pembaca Sinar Harian berbangsa Melayu, namun tidak kurang juga bangsa Cina dan India yang gemar membacanya.

"Justeru, sudah tiba masanya kita mengeluarkan produk baharu, portal berbahasa Inggeris yang akan dapat memenuhi keperluan khalayak yang lebih meluas,” jelasnya.