SPEKULASI mengenai kedatangan Timo Werner ke RB Leipziq segera dinafikan pengendali Domenico Tedesco yang mengakui tidak tahu menahu berhubung perkara itu, terutamanya mengenai urusan perpindahan pemain berkenaan dari Chelsea.
Menurut Tedesco, pihaknya juga tidak dimaklumkan mengenainya setakat ini dan berharap ia hanyalah khabar angin menjelang saingan musim baharu Bundesliga yang bakal memulakan saingan hujung minggu ini.
"Walaupun dia (Werner), pernah beraksi di sini, tetapi kali ini dia bukan pemain kelab ini. Dia juga bukan pemain saya..dia hanyalah pemain dari Chelsea dan saya tidak tahu menahu mengenai kedatangannya ke sini.
"Oleh itu, saya jelaskan di sini, saya tidak mahu membuat apa-apa kenyataan mengenai pemain yang bukan di bawah kendalian saya dan mempunyai kontrak di kelab ini,” katanya.
Untuk rekod, Werner 26, dikatakan mahu dilepaskan Chelsea setelah pemain berkenaan dilihat gagal memberikan sumbangan bermakna kepada pasukan itu sejak kehadirannya pada musim 2020 lalu.
Malah, pemain kebangsaan Jerman yang pernah beraksi dengan RB Leipzig pada musim 2016 hingga 2020 lalu dikatakan bergelut untuk berada pada tahap prestasi terbaik untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama The Blues.
Sementara itu, Tedesco berharap isu berkenaan tidak akan menjejaskan fokus pemain menjelang sepak mula saingan musim baharu Bundesliga nanti.
Katanya, setakat ini persiapan pasukannya berjalan lancar dan kesemua pemain turut memahami sasaran pasukan musim ini.
"Saya harap perkara ini dapat difahami dengan jelas oleh semua pihak agar tidak timbul sebarang isu atau permasalahan kelak untuk kami mencapai sasaran yang telah ditetapkan.
"Lagipun, apa yang penting ketika ini adalah bagi memastikan pemain saya bersedia secukupnya dari segi mental dan fizikal bagi mengharungi saingan musim baharu Bundesliga,” katanya.