Lebih 3,000 peserta Fun Walk Sinar Harian 16 gegarkan DBKL

Iklan
Farah (tiga dari kanan) bersama tetamu dan orang ramai menyertai Fun Walk Sinar Harian sempena ulangtahun Sinar Harian yang ke-16 bermula dari Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Ahad. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

KUALA LUMPUR - Lebih 3,000 peserta Fun Walk Sinar Harian 16 hadir menggegarkan Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sempena ulang tahun syarikat pada Ahad.

Farah Hussamuddin

Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin tidak menyangka acara tersebut mendapat sambutan yang sangat luar biasa daripada warga kota.

Iklan
Iklan

Jelasnya, ia secara tidak langsung membuktikan bahawa Sinar Harian masih lagi mendapat tempat di hati masyarakat.

"Seperti yang kita sedia maklum, program yang diadakan ini adalah untuk meraikan ulang tahun Sinar Harian yang ke-16.

Iklan

"Kalau sebelum ini kita tidak dapat lakukan secara fizikal kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Jadi, kita banyak buat aktiviti secara dalam talian. Sekarang bila semua dah kembali seperti biasa, kita bercadang untuk turun ke lapangan. Jumpa dengan pembaca setia Sinar Harian.

"Alhamdulillah, dari segi sambutan pun memang sangat menggalakkan dan saya sendiri tidak sangka peserta mencecah lebih 3,000 orang,” katanya ketika ditemui pemberita pada Ahad.

Iklan

Program berjalan secara santai sejauh lima kilometer itu turut dihadiri Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Rozaid Rahman, Pengurus Tugas-Tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang, Pengerusi Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Tuan Kamarul Arief Tuan Soh dan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.

Rozaid

Mengulas mengenai program Fun Walk Sinar Harian 16 itu juga, Rozaid berkata, penyertaan yang berlangsung pada Ahad adalah yang terbaik, berbanding beberapa aktiviti yang diadakan sebelum ini.

"Saya berharap program seumpama ini akan diteruskan lagi untuk tahun yang akan datang,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Pemasaran Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin pula memberitahu, walaupun agihan baju T-shirt edisi khas Sinar Harian hanya terhad kepada 600 peserta terawal sahaja, namun orang ramai tetap memeriahkan acara tersebut.

"Untuk acara Fun Walk Sinar Harian 16 hari ini (Ahad), kita ada menyediakan 600 T-shirt edisi khas. Seawal jam 6 pagi dah habis.

"Walaupun ada antara mereka tidak sempat peroleh baju tersebut, tetapi mereka tetap nak sertai kemeriahan sambutan ulang tahun ke-16 Sinar Harian,” jelasnya.

Orang ramai turut menyertai acara zumba di dataran DBKL. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

Tambah Nik Justin, selain daripada acara Fun Walk, terdapat juga aktiviti lain yang menarik antaranya, acara zumba dari Kementerian Belia dan Sukan serta cabutan bertuah berbentuk barangan perkakas dapur dan rumah.

"Ada juga badan-badan korporat lain yang turut memberikan sumbangan antaranya Starbucks, Bank Rakyat, Lotus, Mydin, Restoran Ali Maju, AEON Big, GM Klang dan Pusat Pakaian Hari Hari,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Nik Justin berkata, kemeriahan sambutan Sinar Harian 16 juga tidak berakhir di Fun Walk sahaja.

"Ini kerana kita akan adakan acara kemuncak iaitu Finale Peraduan Kumpul dan Menang Sinar Harian yang akan dilakukan secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Ahad malam.

"Pelbagai kejutan juga akan diumumkan nanti,” ujarnya.