KUALA LUMPUR - Minat mendalam sukan marathon menjadi faktor utama yang mendorong seorang warga emas untuk menyertai program Fun Walk Sinar Harian 16.
Mazlan Kidam, 67, berkata, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di negara ini, dia sering menyertai program-program sukan yang diadakan.
Mazlan yang berasal dari Cheras itu berkata, faktor usia tidak dijadikan sebagai alasan untuk tidak bersukan malah, seharusnya menjadi motivasi untuk kekal sihat dan cergas.
"Saya rasa bersyukur alhamdulillah kerana masih dikurnia tenaga dan sihat tubuh badan dan yang penting kita kena jaga kesihatan.
"Pada masa yang sama kita juga boleh beriadah dalam program-program seperti ini," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Dalam pada itu, salah seorang peserta, Jamaludin Idris, 50, berkata, program tersebut merupakan program sukan pertama yang disertai olehnya bersama keluarga.
"Sebelum ini memang ada banyak program-program, tetapi saya tidak dapat sertai sebab sibuk dengan komitmen kerja.
"Hari ini saya dapat cuti, jadi saya boleh sertai dan ini merupakan masa terbaik untuk luangkan masa dengan mereka," ujarnya.
Sementara itu, bagi Ruselawati Abu Hassan, 40, acara sukan seperti Fun Walk Sinar Harian 16 perlu dilakukan dengan lebih kerap bagi memastikan lebih ramai orang menjaga kesihatan diri terutamanya selepas pandemik Covid-19.
Menurutnya, sebagai penggemar sukan lasak, dia dan suaminya tidak ketinggalan menyertai program-program sukan terutamanya melibatkan program Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
"Saya memang gembira sangat sebab selepas dua tahun kita tidak dapat berkumpul selepas pandemik Covid-19.
"Selain itu, kita pun boleh sertai juga program sampingan yang lain seperti zumba dan cabutan bertuah," jelasnya.
Sinar Harian sebagai sebuah akhbar yang dekat dengan masyarakat menganjurkan program kecergasan Fun Walk Sinar Harian 16 sempena ulang tahun penerbitannya pada 31 Julai.
Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin berkata, program yang berkonsepkan manfaat masa bersama keluarga dengan melakukan aktiviti kecergasan pada hujung minggu ini adalah antara program utama sambutan ulang tahun Sinar Harian ke-16 dan terbuka kepada semua lapisan masyarakat.
Menurutnya, Sinar Harian turut mengambil inisiatif untuk bersama-sama dengan kerajaan dan kementerian sebagai sebahagian aktiviti tanggung jawab sosial korporat syarikat menerusi sukan bersama keluarga.