ALOR SETAR - Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan berangkat ke Istiadat Perbarisan dan Meletak Kalungan Bunga Sambutan Hari Pahlawan peringkat Negeri Kedah 2022 di Tugu Peringatan, di sini, pada Ahad.
Sebaik berangkat, baginda berkenaan memeriksa kawalan kehormatan terdiri 103 anggota dari Batalion ke 6, Rejimen Askar Malayu Diraja (RAMD) diketuai Mejar Muhammad Firdaus Zainuddin.
Iklan
Iklan
Turut berangkat, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafuddin Badlishah Sultan Sallehuddin; Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin; Tunku Bendahara Datuk Seri DiRaja Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.
Keberangkatan tiba Sultan Sallehuddin disambut oleh Exco Perumahan, Alam Sekitar, Perpaduan dan Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam Kedah, Dr Robert Ling Kui Ei mewakili Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Kemuncak majlis sambutan itu adalah istiadat kalungan bunga di Tugu Peringatan yang disempurnakan Sultan Sallehuddin.
Upacara sambutan diserikan dengan deklamasi sajak bertajuk 'Pahlawan' disampaikan Deputi Superintendan (DSP), Azizi Ahmad.
Enam kontinjen terdiri daripada Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia, (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) turut menyertai Hari Pahlawan Peringkat Negeri Kedah itu.