KUALA LUMPUR - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) merancang untuk memohon lebih banyak peruntukan daripada Kementerian Kewangan (MOF) di bawah Bajet 2023 bagi memastikan usaha lebih mantap ke arah pemuliharaan alam sekitar dalam sektor perladangan.
Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, ini juga selaras dengan komitmen Malaysia ke arah merealisasikan sasaran yang ditetapkan mengikut Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Beliau berkata, KPPK komited dalam meningkatkan usaha pemuliharaan untuk meminimumkan konflik hidupan liar-manusia demi kemampanan sektor perladangan.
"Usaha seperti ini juga sekali gus menyangkal kritikan terutama dari Barat bahawa Malaysia tidak mematuhi piawaian alam sekitar global demi tujuan komersial,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, KPPK melalui pelbagai agensi seperti Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memastikan pertumbuhan sektor perladangan yang mampan.
"Ini termasuk pembangunan Santuari Hidupan Liar Gajah Borneo untuk menangani konflik manusia-gajah dan mewujudkan kawasan perlindungan akses awam terkawal untuk lebih memahami dan menjaga haiwan ini,” katanya.
Zuraida berkata, MPOGCF juga telah memulakan program menanam spesies rumput gajah untuk menggalakkan haiwan tersebut menggunakan koridor hidupan liar dan usaha ini dapat membantu mengurangkan konflik manusia-gajah.
"KPPK turut menyokong Inisiatif ‘Heart of Borneo’, sebuah program unik yang diterajui kerajaan dan disokong badan bukan kerajaan yang bermula sejak deklarasi bersama oleh kerajaan Brunei, Indonesia dan Malaysia pada 2007,” katanya.
Beliau berkata, program ini antaranya bertujuan memulihara biodiversiti di Borneo untuk manfaat orang ramai melalui rangkaian kawasan perlindungan, pengurusan hutan lestari dan penggunaan tanah secara mampan.
Usaha ini menunjukkan komitmen kerajaan ke arah memelihara kekayaan biodiversiti negara, katanya.
"Malaysia menyokong dan mengambil bahagian dalam Deklarasi Pemimpin Mengenai Hutan dan Penggunaan Tanah dan Ikrar Metana Global pada Persidangan Parti Ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim yang diadakan di Glasgow, United Kingdom pada November 2021,” katanya.
Beliau berkata, penglibatan Malaysia bersama 141 negara lain dalam deklarasi ini adalah selaras dengan Deklarasi Pemimpin Mengenai Hutan dan Guna Tanah Negara.
"Deklarasi ini bertujuan terus mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan tanah negara di bawah liputan hutan serta mengukuhkan komitmen kerajaan dalam pemuliharaan dan pengurusan mampan hutan dan ekosistem lain dan guna tanah, termasuk bagi tujuan pertanian dan perladangan,” katanya.
Zuraida juga mengucapkan takziah kepada keluarga seorang pekerja ladang kelapa sawit yang maut dipijak gajah liar di Temerloh, Pahang baru-baru ini. - Bernama