KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Acara Fun Walk Sinar Harian 16 wajar dijadikan aktiviti tahunan kerana bukan sahaja untuk menyambut ulang tahun penubuhan akhbar tersebut malah mempromosikan gaya hidup sihat kepada masyarakat.
Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaafar yakin penganjuran acara seperti ini mampu memberikan keceriaan kepada peserta setelah melihat kepada jumlah penyertaan yang tinggi.
Beliau yang sering menjadi moderator program Bicara Minda Sinar Harian berkata, program tersebut wajar diteruskan pada setiap tahun.
"Saya menikmati acara ini, ia memberikan banyak keceriaan dan semua orang gembira tentangnya (acara Fun Walk Sinar Harian 16).
"Saya berasa gembira dapat menyertai Fun Walk Sinar Harian 16 dan ia wajar diteruskan selepas melihat jumlah peserta yang terlibat," katanya ketika ditemui di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, penganjuran acara seumpama ini bukan sahaja untuk merayakan ulang tahun penubuhan Sinar Harian, tapi bagus dari segi promosi penjagaan kesihatan.
"Acara seperti ini diadakan bukan sahaja untuk merayakan Sinar Harian, tapi dari segi penjagaan kesihatan, ini satu penggalakan yang sangat baik untuk masyarakat Malaysia," katanya.
Turut senada dengan Mahfuz ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin yang berpendapat acara Fun Walk Sinar Harian 16 ini sebagai inisiatif untuk mempromosikan gaya hidup sihat.
Imran berkata, program tersebut turut memberi peluang kepada ahli keluarga dan rakan-rakan untuk mengeratkan hubungan silaturahim di samping mencipta kenalan baharu.
"Selain itu, kita dapat ramai orang mengambil peluang keluar hujung minggu sempena Hari Tanpa Kenderaan di Kuala Lumpur dengan membawa keluarga dan rakan-rakan untuk beriadah yang boleh merapatkan hubungan silaturahim," katanya.
Acara Fun Walk Sinar Harian 16 menyaksikan lebih 3,000 peserta menyertai program tersebut sempena ulang tahun penubuhan Sinar Harian pada 31 Julai.
Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin berkata, beliau tidak menyangka acara tersebut mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada warga kota.
Menurutnya, ia secara tidak langsung membuktikan bahawa Sinar Harian masih mendapat tempat di hati masyarakat.