Jangan sia-siakan pengorbanan pahlawan negara: Ahmad Zahid

Iklan
Ahmad Zahid

SHAH ALAM - Pengorbanan pahlawan negara yang mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara perlu sentiasa diingati bagi mengelakkan perkara sama berulang, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga bekas Menteri Dalam Negeri berkata, dengan perubahan masa, negara kini berhadapan dengan pelbagai ancaman musuh baharu.

Iklan
Iklan

"Peristiwa hitam pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu pada 2013 mengorbankan sejumlah pahlawan negara masih diingati. Mereka gugur dalam medan pertempuran mempertahankan kedaulatan negara daripada anasir-anasir musuh.

"Jangan kita sia-siakan pengorbanan pahlawan negara. Usah benarkan agenda musuh-musuh yang mahu merosakkan. Begitu juga musuh dalam selimut yang akan sentiasa muncul di setiap zaman dengan penuh tipu daya dan muslihat.

Iklan

"Keselamatan dan keamanan harus terus dipertahankan demi masa depan Malaysia sebuah negara berdaulat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Ahad bersempena Hari Pahlawan 2022.

Sambutan Hari Pahlawan pada setiap 31 Julai merupakan antara usaha dan keprihatinan kerajaan dalam mengenang jasa perwira tanah air yang terkorban ketika mempertahankan kedaulatan ibu pertiwi.

Iklan

Ahmad Zahid berkata, tarikh tersebut diangkat sebagai Hari Pahlawan bersempena dengan tamatnya darurat menentang komunis pada tahun 1960.

Menurutnya, hari itu disambut bagi memperingati jasa dan pengorbanan pahlawan tanah air dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Katanya, khidmat bakti dan pengorbanan itu seharusnya dijadikan inspirasi serta azimat penguat semangat bagi generasi akan datang untuk memahami apa yang telah diperjuangkan.

"Sesungguhnya jerit perih para pejuang tanah air suatu ketika dahulu yang membentuk keamanan Malaysia hingga hari ini,” ujarnya.