AUG 2022: Skuad catur berpeluang bolot empat emas

Iklan
Skuad catur negara berpotensi cerah untuk memenangi empat pingat emas ditawarkan pada AUG 2022.

SKUAD catur berpeluang untuk membolot kesemua empat pingat emas ditawarkan untuk acara catur pada Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 pada Isnin yang akan berlangsung di Universiti Ubon Ratchathani Rajabhat Thailand.

Jurulatih skuad catur AUG, Mohd Ezmi Mahmood berkata, ia selepas barisan pemain lelaki dan wanita yang bermain di temasya ini berjaya mempamerkan persembahan positif untuk mereka mendominasi kategori individu serta berpasukan.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, Mohd Ezmi berkata, tidak terlalu dibuai dengan prestasi semasa, sebaliknya menggesa anak buahnya untuk mengekalkan fokus pada tahap terbaik dalam baki saingan yang ada.

"Lelaki sudah bermain empat pusingan dan wanita dua pusingan. Setakat ini, 95 peratus peluang untuk menang dan yakin empat emas boleh jadi milik kita.

Iklan

"Ini adalah skuad kedua kerana pasukan utama dihantar ke India untuk Chess Olympiad 2022. Kita perlu manfaatkan 'peluru' yang ada dan inilah sebenarnya peluang mereka menyinar buat negara,” katanya.

Dalam pada itu, bagi pemain utama skuad catur, Tan Li Ting, dia turut meluahkan keyakinannya apabila langsung tidak merasai sebarang tekanan besar selepas berakhirnya dua pusingan bagi kategori wanita kelmarin.

Iklan

"Sekarang saya rasa lebih tenang. Saya harap kami dapat bermain pada tahap yang sama atau meningkatkannya lagi bagi mencerahkan peluang dalam acara berpasukan dan individu," jelasnya.

Untuk rekod, Li Ting yang merupakan penuntut di Universiti Multimedia, pernah memenangi dua pingat emas dalam kategori individu dan berpasukan wanita pada edisi 2018 di Nay Pyi Daw, Myanmar.