REMBAU - Asrama lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Dato Haji Abu Hassan Hassan Haji Sail, Pedas di sini hangus 80 peratus dalam kejadian kebakaran pada Ahad.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Rembau, Mohd Izwan Md Said berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.18 petang dan tiba di lokasi tiga minit kemudiannya.
"Kebakaran melibatkan bangunan sekolah asrama lelaki di tingkat tiga yang mempunyai lebih kurang 10 bilik, berkeluasan 12 x 60 meter persegi.
"Ia musnah 80 peratus dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan susulan tiada penghuni di asrama tersebut semasa kejadian," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau berkata, selain pasukan Bomba dan Penyelamat Rembau, operasi pemadaman turut dibantu oleh pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota dan Senawang.
"Api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 3.51 petang dan punca kejadian masih dalam siasatan," katanya.
Sementara itu, Sinar Harian difahamkan ibu bapa yang menghantar anak mereka ke asrama berkenaan telah diminta pulang susulan kejadian itu.