SKUAD badminton negara, dinobatkan sebagai juara keseluruhan acara itu di Sukan Universiti ASEAN (AUG) apabila menambah dua pingat emas pada hari terakhir acara berkenaan sekali gus membawa pulang empat pingat emas, dua perak dan satu gangsa.
Emas pertama skuad badminton hari ini menerusi pemain perseorangan lelaki negara, Faiz Rozain yang mempamerkan aksi terbaik untuk menewaskan wakil Indonesia, Muhammad Radi Zafran Ferary.
Dalam aksi yang berlangsung di Dewan Badminton Universiti Ubon Ratchathani Rajabhat itu, Faiz tidak ada masalah untuk menidakkan cabaran lawannya itu menerusi kemenangan straight set, 21-13, 21-8.
"Alhamdulillah sasaran saya untuk raih dua emas di AUG pertama saya tercapai. Dalam perlawanan akhir saya berikan segala-galanya dan dapat membawa setiap pergerakan lawan.
"Saya banyak terima tunjuk ajar di bawah kendalian jurulatih (Datuk Rashid Sidek), pengalaman dia membantu saya pada kali ini,” kata penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu.
Kecemerlangan ditunjukkan Faiz itu diteruskan menerusi gandingan beregu wanita, Teoh Lexuan-Yap Rui Chen untuk menghadiahkan emas kedua negara selepas menewaskan rakan senegara Desiree Siow-Ng Qi Xuan
Bagaimanapun, Lexuan-Rui Chen bermandi peluh sebelum menewaskan Disiree-Qi Xuan 18-21, 22-20, 21-11.
Sementara itu, hasrat kem negara menambah koleksi emas menerusi acara beregu lelaki dan beregu campuran tidak kesampaian apabila kedua-duanya tewas kepada gandingan Indonesia.
Pasangan beregu lelaki negara. Mohammad Faris Zaim Abdul Khalid-Ameer Amri Zainuddin tewas straight set 21-13, 21-18 kepada Nendi Novatino-Reza Dwicahya.
Selain Faris Zaim-Ameer Zamri turut hampa di perlawanan akhir adalah gandingan campuran, Tan Kok Xian-Desiree yang tewas straight set 20-22,21-23 kepada Dwiki Rafian Restu-Elizabeth Jovita.