EksKOM catat nilai dagangan lebih RM100 juta

Iklan
EksKOM

SERDANG - Ekspo Koperasi Malaysia (EksKOM) berjaya mencatat unjuran nilai dagangan ke hadapan melebihi RM100 juta sepanjang empat hari ia berlangsung di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC) di Seri Kembangan, Selangor.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, potensi perdagangan dan pelaburan itu diraih menerusi empat memorandum perjanjian dan persefahaman serta 170 sesi pemadanan perniagaan dan transaksi perniagaan (B2B) melibatkan koperasi serta syarikat perniagaan termasuk dua koperasi antarabangsa.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ekspo sejak 28 Julai lalu bersempena dengan Hari Koperasi Negara 2022 anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan kerjasama Angkasa dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) itu berjaya menarik kehadiran 35,767 pengunjung.

"Kehadiran pengunjung melebihi sasaran awal iaitu sebanyak 30,000 orang, sudah pasti akan membantu menyebarluaskan penawaran produk dan perkhidmatan koperasi kepada rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Iklan

Abdul Fattah berkata, Angkasa menerima banyak reaksi positif daripada kalangan pempamer yang terdiri daripada koperasi, agensi kerajaan dan juga rakan strategik.

Katanya, EksKOM yang dianjurkan telah menyediakan ruang untuk mempromosi produk serta menjalinkan kerjasama strategik bagi memperkukuhkan lagi pemasaran dan perniagaan mereka.

Abdul Fattah (dua dari kiri) menyerahkan sijil penghargaan kepada koperasi dari Filipina, Federation of People’s Sustainable Development Cooperative (FPSDC). Turut hadir Timbalan Presiden Angkasa, Profesor Madya Datuk Dr. Abdul Rahman Abdul Razak Shaik (kiri)

Iklan

"Usaha merakyatkan koperasi serta menjadikan koperasi sebagai pilihan utama perniagaan dan gaya hidup menjadi agenda utama Angkasa seperti yang telah digariskan dalam Pelan Strategik Angkasa 2050 (PESAN50) dan EksKOM,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi SKM, Rusli Jaafar dalam ucapan perasmian penutup Hari Koperasi Negara 2022 merakamkan penghargaan dan terima kasih atas sambutan yang diberikan oleh pengunjung yang hadir dari seluruh negara.

Beliau turut berbangga dengan penglibatan koperasi pelbagai sektor dari dalam dan luar negara yang mengambil bahagian dalam EksKOM yang dilihat boleh meningkatkan daya saing koperasi agar kekal teguh menjadi jentera penggerak pembangunan sosioekonomi yang berkesan untuk rakyat Malaysia.

Majlis perasmian penutupan turut dimeriahkan dengan sesi cabutan bertuah yang menyaksikan pelbagai hadiah menarik seperti motosikal, peti sejuk, basikal, telefon bimbit, televisyen dan pakej penginapan di hotel.