PINGAT emas Malaysia di temasya Sukan Para ASEAN (APG) ke-11 di Solo, dijangka hadir menerusi jaguh olahraga para Muhammad Ziyad Zolkefli pada pagi Isnin.
Pemenang pingat emas Paralimpik Rio 2016 dan dua kali juara dunia pada 2013 dan 2017 itu, akan beraksi dalam acara lontar peluru F20 (masalah intelektual) di Stadium Manahan.
Sekiranya Muhammad Ziyad, yang meraih gangsa di Sukan SEA Hanoi, Vietnam pada Mei lepas berjaya merangkul emas, ia bakal menjadi emas keempat berturut-turutnya di APG sejak edisi 2013 di Myanmar.
Malaysia juga berpeluang untuk meraih pingat menerusi Mohamad Aliff Mohamad Awi pada acara sama, manakala seorang lagi bekas juara dunia dan pemenang pingat emas Rio 2016, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi turut diharapkan menyumbang emas buat kem negara.
Selain itu, kilauan emas juga dijangka hadir menerusi Eddy Bernard dalam acara lompat jauh lelaki F44/64, R. Partiban (100m lelaki T38) dan Muhammad Amirul Alif Abdul Raof (lontar peluru lelaki F55).
Bagi saingan renang di Pusat Renang Jatidiri, Semarang, Mohd Adib Iqbal Abdullah (100m kuak dada lelaki SB14) dan Abd Halim Mohammad (kuak dada lelaki SB8) menjadi sandaran untuk menghadirkan pingat bagi Malaysia.
Sementara itu, hari pertama pertandingan pada Ahad menyaksikan skuad memanah mempamerkan aksi terpuji apabila S Suresh dan Nurfaizal Hamzah merekodkan catatan peribadi terbaik mereka menerusi recurve lelaki manakala G.Deneshan melakukan catatan terbaik musim ini.
Tiada acara pingat melibatkan kontinjen Malaysia hari ini manakala emas pertama temasya dimenangi oleh tuan rumah menerusi acara badminton berpasukan lelaki (berdiri) selepas menewaskan Thailand dan Vietnam 3-0.
Thailand yang mengatasi Vietnam 2-1 pada acara yang menggunakan format liga sepusingan (round robin), membawa pulang perak manakala tiada gangsa dihadiahkan. - Bernama