Pandu lori macam kereta lumba F1

Iklan
Gambar hiasan. - Foto 123RF

SEJAK kebelakangan ini, hampir setiap minggu ada sahaja kemalangan maut dilaporkan berlaku di negara ini membabitkan kenderaan berat seperti treler dan lori.

Lebih memilukan, ada antara kemalangan maut ini membabitkan kehilangan nyawa yang bukan sedikit.

Iklan
Iklan

Penulis sendiri pernah berdepan detik cemas membabitkan kenderaan berat apabila kereta yang dipandu isteri ketika menghantar dua anak ke sekolah dilanggar sebuah treler dari arah belakang ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat, kira-kira lima tahun lalu.

Syukur dalam kejadian itu isteri dan anak-anak terselamat tanpa sebarang kecederaan apabila pemandu treler terbabit berjaya mengelak ke kanan dan hanya melanggar bahagian tepi kanan belakang kereta.

Iklan

Dalam nahas-nahas membabitkan treler atau lori melanggar kenderaan di hadapan, sering kali pemandu-pemandu terbabit memberi alasan gagal memberhentikan kenderaan kerana kerosakan brek. Alasan ini turut digunakan oleh pemandu treler yang melanggar kereta dipandu isteri penulis.

Setahu penulis, kenderaan perdagangan termasuk lori dan treler diwajibkan menjalani pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) setiap enam bulan.

Iklan

Pemeriksaan brek adalah salah satu ujian yang dilakukan di Puspakom sebelum kenderaan terbabit diluluskan untuk berada di atas jalan raya. Maka begitu, senangkah brek kenderaan berat ini mengalami kerosakan tidak sampai enam bulan selepas ia diluluskan Puspakom?

Biarpun begitu, kajian dilakukan penyelidik dan penyiasat forensik kemalangan mendapati kebanyakan kemalangan maut membabitkan kenderaan berat mempunyai kaitan langsung dengan sikap pemandu.

Antara sikap yang sering diperkatakan dan dapat dilihat sendiri adalah gemar memandu dengan laju serta berbahaya terutamanya ketika kenderaan tidak membawa sebarang muatan. Aksi memandu mereka boleh diibaratkan sebagai pemandu perlumbaan Formula Satu (F1) yang sedang bersaing hebat memburu kejuaraan.

Kelmarin, penulis ke Ipoh melawat anak lelaki penulis yang belajar di sebuah sekolah asrama di situ. Ketika memandu pulang ke rumah di Kajang, Selangor melalui Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS), aksi-aksi F1 membabitkan pemandu kenderaan berat ini disaksikan sendiri oleh penulis.

Dalam perjalanan, penulis yang memandu di lorong tengah terkejut apabila tiba-tiba sebuah lori 20 tan dengan selamba memotong kenderaan dipandu penulis.

Mudahnya pemandu lori ini memotong kenderaan penulis boleh dibaratkan seperti aksi juara dunia tujuh kali F1, Lewis Hamilton memotong sepusingan kereta di kedudukan terakhir.

Ketika ini, meter kelajuan di kenderaan penulis menunjukkan 100 kilometer sejam (km/j), 10km/j kurang daripada had laju yang ditetapkan.

Menjadi persoalan, berapakah kelajuan lori di laluan ketiga atau paling kanan itu ketika ia memotong kenderaan penulis kerana tidak sampai seminit, lori ini tidak lagi kelihatan.

Berdasarkan mudahnya kenderaan penulis dipintas, penulis berpendapat kelajuan treler berkenaan tidak kurang daripada 120km/j sedangkan had laju kenderaan berat yang dibenarkan di lebuh raya hanya 90km/j.

Tidak lama selepas itu, penulis menyaksikan pula sebuah lori lima tan dipandu secara berbahaya, sekejap ke kiri, sekejap ke kanan ketika memotong. Lori bounded (tertutup) ini agak tinggi, pastinya ia senang hilang kawalan jika berlakunya sesuatu kejadian tidak diingini.

Pelbagai pandangan bernas diberikan sebelum ini bagi memperbaiki sikap pemandu kenderaan berat antaranya mewajibkan pemandu kenderaan berkenaan mengikuti kursus berkaitan pemanduan berhemah. Ini antara pandangan yang perlu dipandang serius oleh kerajaan terutamanya Kementerian Pengangkutan.

Selain itu, pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga mungkin boleh melakukan operasi membabitkan kenderaan berat dengan lebih kerap sebagai langkah pencegahan. Dengan operasi yang lebih kerap, pemandu kenderaan berat mungkin lebih berhati-hati bagi mengelak dikenakan saman.

Kadar saman RM300 yang dikenakan juga boleh dinaikkan kepada dua kali ganda memandangkan jumlah RM300 ketika ini dilihat tidak menggerunkan pemandu kenderaan berat.

Mungkin cadangan penulis ini akan membangkitkan kemarahan pemandu kenderaan berat. Namun jika tidak buat, kesalahan seperti memandu laju melebihi had yang ditetapkan, nampaknya tidak ditakuti kerana anda tidak akan disaman.

*Rosli Hassan ialah penyunting Sinar Harian