TULAR rakaman video seorang pemandu lelaki yang bertindak memecahkan cermin sebuah kereta pada Khamis lalu kerana berang dihon sewaktu memandu.
Budaya buli dan samseng jalan raya ini bukan perkara baharu dan ia terus berlaku sehingga hari ini kerana ada segelintir yang menormalisasikan tindakan tersebut.
Memecahkan cermin kenderaan mangsa menggunakan objek dan mengancam keselamatan mangsa adalah jenayah yang boleh disiasat di bawah Seksyen 506, Seksyen 279 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Sebenarnya, tindakan suspek hanya merugikan diri sendiri kerana gagal mengawal emosi. Sudahlah identiti ditularkan, kini diburu pula oleh polis kerana menghilangkan diri.
Melihat kepada usia suspek, Merak Jalanan berpendapat dia mungkin suami kepada seseorang dan mungkin juga seorang bapa.
Apa perasaan mereka agaknya apabila melihat perlakuan individu dalam rakaman video yang tular itu adalah ahli keluarga sendiri.
Mungkin ada yang berkata kita tidak berada di tempat suspek dan tidak tahu apa masalah yang dialami olehnya sehingga bertindak sedemikian tetapi perlakuan salah tetap salah. Tidak ada satu alasan untuk menghalalkannya.
Bagaimana dengan mangsa ketika ini. Mungkin trauma dengan apa yang berlaku dan apa kesan psikologi jangka panjang terhadap dirinya?
Nampaknya perlu ada satu peraturan baharu terhadap pembuli dan samseng jalan raya ini iaitu menggantung lesen memandu bagi mereka yang melakukan kesalahan tersebut.
Peraturan tegas sememangnya diperlukan bagi mendidik samseng jalan raya ini supaya berfikir banyak kali sebelum bertindak di luar batasan.
Jalan raya satu kemudahan yang dikongsi bersama dan tindak-tanduk adalah cerminan peribadi seseorang itu. Mengapa tidak boleh menjadi manusia yang berakal.