Mujur tidak berlaku malapetaka

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Ahad.

MALAYSIA pada Ahad dikejutkan dengan insiden serpihan roket China jatuh ke Laut Sulu selepas serpihan yang terbakar itu melintasi ruang udara negara ini.

Pergerakan serpihan yang terbakar berkenaan dikesan di beberapa kawasan termasuk di ruang udara Sarawak.

Iklan
Iklan

Susulan situasi itu, turut tular di media sosial rakaman objek dipercayai serpihan roket yang terbakar itu melintasi langit Kuching, Sarawak.

Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dilaporkan mengesahkan serpihan roket Long March 5B milik negara China melintasi ruang udara negara ini sebelum jatuh di Laut Sulu.

Iklan

MYSA memaklumkan kemasukan semula serpihan roket itu ke ruang udara bumi dikesan berlaku pada pada jam 12.55 pagi Sabtu waktu tempatan.

Mujurlah serpihan itu jatuh ke laut dan tidak menghentam kawasan penempatan penduduk di Sarawak.

Iklan

Jika ia jatuh ke kawasan yang dihuni manusia pastinya akan memberi malapetaka kerana bukan sahaja memusnahkan harta benda bahkan boleh meragut nyawa.

Justeru, sejurus serpihan itu disahkan jatuh ke laut ia sememangnya amat melegakan hati seluruh rakyat negara.

Laut Sulu adalah sebuah perairan terbesar yang terletak di bahagian barat daya Filipina dan terpisah jauh dari Laut China Selatan di barat laut oleh Palawan dan dari Laut Sulawesi di bahagian tenggara oleh Kepulauan Sulu.

Terdahulu pada Sabtu, pakar-pakar astronomi Amerika Syarikat (AS) mendakwa bahawa penggalak roket China yang dilepaskan di luar kawalan akan meluncur kembali ke bumi, lapor portal berita MailOnline.

Saintis-saintis juga mengesahkan serpihan tersebut mungkin jatuh di kawasan berpenduduk di Asia, Afrika atau Amerika Utara.

Serpihan angkasa lepas yang didakwa akan melanggar bumi itu berasal daripada roket Long March 5B yang dilancarkan pada 24 Julai lalu untuk menghantar modul Wentian ke Stesen Angkasa Lepas Tiangong milik China.