Penganggur mengaku tidak salah bakar remaja

Iklan
Shaikh Hilman Hakim (kiri) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kemaman selepas selesai prosiding kes pada Isnin.

KEMAMAN - Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas tuduhan mencederakan seorang remaja lelaki sehingga melecur pada bulan lepas.

Tertuduh, Shaikh Hilman Hakim Shaikh Anuar, 28, yang memakai baju lokap berwarna ungu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, Shaikh Hilman didakwa menyebabkan cedera parah ke atas Muhammad Fiqrie Adam Abdullah, 15, menggunakan api pada 3 pagi, 22 Julai lalu di Kampung Perasing Jaya di Jabor dekat sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan denda atau boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurhanisah S H Sahul Hamid manakala tertuduh diwakili peguam, Nurul Farhana Shamsudin.

Pada prosiding tersebut, Nurul Farhana turut memohon agar mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin berikutan isterinya yang sarat mengandung sedang menunggu masa untuk bersalin.

Iklan

Wan Suhaila kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan syarat agar tertuduh perlu melaporkan diri ke balai polis berhampiran mengikut tarikh ditetapkan selain tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 29 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.