KUALA LUMPUR - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang mencari jalan penyelesaian terbaik mengenai kes bakal jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), awal Julai lalu kerana dipercayai ditipu sebuah agensi pelancongan.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Santhara Kumar berkata, perkara ini juga masih di bawah penilaian dan kajian kementeriannya sebelum langkah seterusnya diambil.
"Saya difahamkan perkara ini masih di bawah penilaian, kajian dan juga di mana (sekarang ini juga) MOTAC sedang mencari jalan penyelesaian terbaik dan saya juga difahamkan memandangkan satu saman telah difailkan, maka saya tidak boleh membincangkan perkara-perkara dengan teliti (lanjut).
"Namun, demikian kita akan memberikan maklumat tambahan secara bertulis kepada Yang Berhormat,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH-Hang Tuah Jaya) yang memintanya menyatakan apakah tindakan proaktif yang telah atau akan diambil MOTAC dalam isu penipuan haji yang mencetuskan kemarahan ramai itu.
Sinar Harian pada Ahad melaporkan, seramai 111 individu yang terkandas di KLIA untuk menunaikan haji pada 7 Julai lalu memfailkan tuntutan sivil terhadap sebuah agensi pelancongan dalam masa terdekat.
Peguam yang mewakili kesemua individu berkenaan, Muhammad Nazrin Mohd Seth berkata, tuntutan itu akan dibuat di Mahkamah Tinggi selepas proses dokumentasi selesai.
Pada 8 Julai lalu, media melaporkan kira-kira 380 bakal jemaah haji dilaporkan terkandas di KLIA dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan swasta.
Mereka yang berkumpul di Aras 5, Balai Pelepasan KLIA dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji (TH).