BIARPUN sekadar menamatkan saingan Grand Prix Formula 1 (F1) Hungary pada kedudukan kedua pada Ahad, namun pelumba Mercedes yang juga juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton tetap berpuas hati dengan pencapaiannya kali ini.
Menurut Hamilton, keputusan itu cukup baik buatnya kali ini kerana hampir muncul juara buat julung kalinya, musim ini.
"Sebenarnya, saya agak bergelut pada peringkat awal perlumbaan dan sukar buat saya mengejar pemandu-pemandu lain.
"Kemudian, saya tidak tahu dari mana ‘kelajuan’ itu datang dan saya berjaya memintas mereka satu demi satu serta bersaing dengan Verstappen di penghujung perlumbaan sehinggalah ke garisan penamat,” katanya.
Seperti diramal, pelumba Red Bull, Max Verstappen meneruskan dominasi selaku juara F1 kali ini.
Ini merupakan kejayaan kedua berturut-turut buat Hamilton menamatkan perlumbaan pada kedudukan podium setelah GP Perancis 24 Julai lalu.
Ia juga merupakan kali kedua berturut-turut dua pelumba Mercedes membabitkan Hamilton dan George Russell menamatkan perlumbaan pada kedudukan podium setelah masing-masing menamatkan perlumbaan pada kedudukan kedua dan ketiga.
Sementara itu, Hamilton berharap agar dia dan rakan sepasukannya, Russell dapat menamatkan perlumbaan akan datang pada kedudukan podium.
Katanya, kejayaan menamatkan perlumbaan pada kedudukan podium itu bakal memberikan semangat kepadanya untuk terus memberikan yang terbaik bagi menjamin kejayaan pada perlumbaan akan datang.
"Saya berharap kejayaan ini berterusan selepas ini dan membantu pasukan untuk muncul juara,” katanya.