KUALA LUMPUR - Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 yang bermula Khamis sehingga 14 Ogos ini, bakal mengetengahkan galeri-galeri menarik dan inovasi mekanisasi sektor perikanan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.
Ketua Pengarah Perikanan Mohd Sufian Sulaiman berkata, pihaknya menanti kunjungan orang ramai terutama pelajar sekolah ke Laman Agro-Food Pertanian, iaitu antara tarikan ialah Galeri Sea of Life yang memaparkan konsep pengurusan pelbagai ekosistem.
"Pameran Usaha Konservasi Perikanan seperti tukun, penyu dan spesies terancam merupakan antara aktiviti yang dirancang di dalam galeri ini, sebagai usaha menyebarkan kepentingan konservasi kepada orang ramai.
"Igloo Showcase yang diadakan di Galeri Sea of Life pula adalah aktiviti interaktif 3D (tiga dimensi) dasar laut yang akan memberi pengalaman istimewa kepada pengunjungnya,” katanya kepada Bernama.
Selain itu katanya Galeri Inovasi Perikanan pula akan mempamerkan projek di bawah Program Mekanisasi dan Automasi yang bermatlamat memudahkan kerja nelayan khususnya dalam tangkapan kerang.
Beliau berkata 10 penciptaan baharu, antaranya Ergo Cockles Harvester dan Hydro Cockle Sorter akan diketengahkan dalam galeri tersebut.
Katanya, tangkapan kerang boleh mencapai berat ratusan kilogram serta melibatkan penggunaan tenaga kerja dan kekuatan fizikal yang tinggi, justeru penciptaan Ergo Cockles Harvester amat bertepatan untuk tujuan itu.
Sementara itu, mekanisasi Hydro Cockle Sorter yang dipasang di dalam sesebuah bot membolehkan proses pengasingan kerang terus dilakukan sekali gus memudahkan penjualan kerang.
"Lazimnya kerang hanya boleh diasingkan selepas nelayan naik ke darat dan itu menjadi pembaziran masa,” katanya.
Galeri lain oleh Jabatan Perikanan ialah ‘Tuna in the House’, Dunia Santuari Ikan Sungai, Dunia Sains Akuatik, Perikanan Tangkapan, Teknologi Akuakultur, Ikan Hiasan, Penguatkuasaan, Aquarius, Sangkar Ikan Air Tawar myGAP, myAgroprenuer Muda dan DOF Showcase.
Laman Agro-Food Perikanan adalah satu daripada lapan laman pertanian iaitu Laman Padi, Laman Ternakan, Laman Herba dan Sayur, Laman Buah-Buahan, Laman Nanas, Laman Jentera dan Laman Florikultur yang akan mewarnai MAHA 2020 bertemakan ‘Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan’. - Bernama