IPOH - Profesion perguruan diharap mendapat anjakan baharu bagi mengharungi cabaran dalam sistem pendidikan hari ini.
Exco Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Dr Abdul Aziz Bari berkata, cabaran berkenaan memerlukan guru-guru yang dinamik serta komited.
"Tema sambutan Hari Guru kali ini agak panjang tetapi menjadi komitmen kerajaan pentadbiran kita terhadap kemuliaan profesion perguruan.
"Inilah antara matlamat besar sambutan Hari Guru sejak 1972 lalu," katanya.
Abdul Aziz berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Pelancaran Gerakan Massa 'Terima Kasih Cikgu' sempena Sambutan Hari Guru (dengan tema Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi #terimakasihcikgu) Peringkat Negeri Perak 2019 di AEON Station 18, petang tadi.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri, Mohd Rosli Ahmad.
Sementara itu Abdul Aziz berharap agar gerakan Massa yang dilancarkan dapat membantu perubahan dalam profesion perguruan masa kini.
Sekaligus katanya, perubahan berkenaan dilihat dapat menjadikan bidang pendidikan sebagai antara profesion pilihan.
"Profesion perguruan yang agak lesu suatu ketika dahulu diharap dapat diarus perdanakan.
"Semoga dengan lonjakan, anjakan yang kita berikan dapat melonjakkan kembali profesion perguruan kembali seperti dahulu," katanya.