ATLET taekwando negara, Nurul Hidayah Abdul Karim mengakui kejayaannya menaiki podium dalam beberapa kejohanan besar sebelum ini, memberikan sedikit tekanan buat dirinya apabila turun beraksi buat kali pertama di Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022.
Bagaimanapun, Hidayah tidak mahu ia menjadi batu penghalang buat dirinya untuk memberikan persembahan terbaik dalam saingan poomsae individu yang bakal membuka tirainya di Hotel Konvensyen Nevada, pada Selasa.
"Sedikit tertekan kerana ini kali pertama saya sertai AUG. Namun, saya ambil ini dari sudut positif dan semangat untuk saya berlatih lebih gigih untuk memberikan persembahan terbaik.
"Walaupun kami sentiasa berikan yang terbaik tetapi agak sukar untuk jangka hari pertandingan nanti. Negara lain juga berlatih dan semua orang akan berjuang habis-habisan untuk dapatkan pingat,” katanya.
Untuk rekod, Hidayah, 24, antara nama tumpuan yang diletakkan untuk menyumbang pingat buat Malaysia pada edisi ke-20 ini.
Ia selepas Hidayah berjaya memenangi pingat perak berpasangan campuran dan gangsa berpasukan wanita Kejohanan Poomsae Dunia 2022 di Goyang, Korea Selatan pada April lalu.
Dalam masa sama, Hidayah berharap dapat menampilkan aksi terbaik selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan retak tulang dialami gara-gara terjatuh ketika menjalani latihan awal bulan lepas.
Selain Hidayah, turut menjadi sandaran kem taekwondo negara untuk acara poomsae individu hari ini ialah Jason Loo yang memenangi pingat perak Sukan SEA Vietnam 2021.