JOHOR BAHRU - Pemuda UMNO Johor sudah mempunyai senarai untuk diketengahkan sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketuanya, Mohd Hairi Mad Shah berkata, senarai itu belum dimuktamad lagi dan akan diserahkan kepada pucuk pimpinan untuk dinilai.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin bagaimanapun berkata, perkara itu akan dibincangkan terlebih dahulu dengan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad.
"Tarikh untuk serahan senarai nama calon juga sudah kita tetapkan, namun perkara ini merupakan rahsia parti bila ia akan dilakukan.
"Ya (tarikh serahan dan calon-calonnya) sudah ada," katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pra-pelancaran FIJO 2022 di sebuah hotel di sini pada Isnin.
Pada Jumaat, Hasni membayangkan BN Johor akan meletakkan kira-kira 70 peratus calon muka baharu dalam PRU15 di negeri ini.
Mohd Hairi membayangkan PRU15 seakan-akan sudah hampir apabila petugas media bertanyakan senarai calon Pemuda UMNO yang akan bertanding.
"Macam sudah tidak lama lagi (PRU15) tanya-tanya ni, macam sudah tahu-tahu," katanya sambil berseloroh.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya bersedia dan menyambut baik kenyataan Hasni yang membayangkan akan memberi lebih peluang kepada pemuda untuk disenaraikan sebagai calon pada PRU15.
"Ya, pastinya kami sudah bersedia, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang lalu kami telah buktikan bahawa golongan pemuda mampu 'deliver' sehingga berjaya menjawat jawatan Exco negeri.
"PRU ini cabarannya pasti sengit, jadi kami akan menamakan calon-calon yang terbaik sama ada daripada Pemuda UMNO Johor mahupun Pemuda BN Johor sendiri," katanya.