KUALA LUMPUR - Hafizul Arifin, 53, yang hanya berbasikal tua dari Kampar, Perak untuk mengikuti Himpunan 'kesyukuran' meraikan kejayaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Segala Bentuk Diskriminasi (ICERD), selamat tiba di sini, petang semalam.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Pak Long, ternyata bersemangat mengikut himpunan ini apabila hadir ke himpunan itu di Dataran Merdeka pada tengahari ini, meskipun masih penat.
Katanya, beliau mengayuh basikal pada hari Rabu lalu pada jam 4 pagi dari Kampung Malim Nawar tiba di Kuala Lumpur pada jam 6 petang semalam.
"Alhamdulillah, selamat tiba, terima kasih kepada teman-teman yang memberi kata semangat untuk Pak Long terus mengayuh agar sampai ke himpunan ini," katanya kepada Sinar Harian.
Dalam pada itu ketika memberi ucapan di sini, Pak Long berkata ada sebab mengapa beliau memilih untuk mengayuh basikal tua dari Kampar untuk ke himpunan ini.
"Pesanan Pak Long bersatu demi Islam... Sebab apa saya naik basikal tua ini mengingatkan perjuangan orang kita dahulu.
"Mereka pertahankan Melayu Islam hingga sekarang bagaimana kesusahan bergerak, jadi Pak Long terpanggil mengayuh basikal itu membawa inspirasi dan buat kekuatan kita semua," katanya yang memberitahu bahawa usia basikal itu sudah 60 tahun.
Dalam pada itu tatkala berkongsi kisah perjalanannya dia mengatakan bahawa dia hanya berhenti berehat di masjid untuk menghilangkan lelahnya mengayuh.
"Cuma alhamdulillah, nasib Pak Long baik apabila sampai di Kuala Lumpur ada hamba ALLAH yang menyediakan hotel buat Pak Long," akhirinya.
Perhimpunan aman yang disertai peserta berbaju putih ini dijangka bermula jam 2 petang.
[ARTIKEL BERKAITAN: LANGSUNG: Peserta Himpunan ICERD mulai masuk Dataran Merdeka]
[ARTIKEL BERKAITAN: ICERD: PDRM siap siaga hadapi sebarang kemungkinan]
Bulan lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy berkata, kerajaan komited untuk mengesahkan enam triti hak asasi manusia termasuk Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) pada suku pertama tahun depan.
"Saya ingin menyatakan bahawa meratifikasi konvensyen-konvensyen ini termasuk ICERD adalah selaras dengan manifesto Pakatan Harapan (PH),” katanya.
Ekoran kenyataan menteri itu, satu petisyen mendesak Waytha Moorthy meletak jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri diwujudkan.
[ARTIKEL BERKAITAN: Petisyen desak Moorthy letak jawatan cecah 120k]
Petisyen itu dilancarkan oleh Gerakan Pengundi Sedar (GPS) menerusi tandatangan di atas talian Change.org.