Sultanah Nur Zahirah tidak pernah campur pentadbiran kerajaan negeri

Iklan
Sultanah Nur Zahirah - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah pada Isnin memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa baginda tidak pernah mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri selain tidak tahu mengenai penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) dan entiti dikenali sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sultanah Nur Zahirah, yang memberi keterangan secara dalam talian pada perbicaraan kes saman terhadap Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown dan dua lagi, bertitah dakwaan Rewcastle-Brown dalam buku The Sarawak Report-The Inside Story of the 1MDB Expose menggambarkan baginda sebagai seorang yang berpengaruh serta mempunyai kuasa untuk mempengaruhi Kerajaan Negeri Terengganu.

Iklan
Iklan

"Dakwaan yang dibuat sekarang ini yang menjadi punca utama... yang disebutkan ialah ‘the wife of the sultan’ iaitu saya... dan saya tegaskan saya memang tidak tahu-menahu mengenai TIA, 1MDB, mengenai penubuhannya dan segala-galanya.

"Ini kerana saya memang tidak pernah mencampuri urusan kerajaan negeri... memang saya tidak pernah," titah baginda ketika pemeriksaan balas oleh peguam Americk Sidhu yang mewakili Rewcastle-Brown, penerbit Gerakbudaya Enterprise Chong Ton Sin dan pencetak Vinlin Press Sdn Bhd.

Iklan

Sultanah Nur Zahirah juga dilihat agak beremosi ketika ditanya oleh peguam Vishnu Kumar mengenai reputasi baginda yang terjejas akibat penerbitan buku itu.

"Buku ini ditulis pada 2018 dan pada masa itu, Jho Low dikategori sebagai seorang yang dikehendaki polis dan yang paling penting, saya tidak pernah masuk campur hal ehwal pentadbiran negeri Terengganu. Saya memang tidak campur. Tugas saya adalah sebagai isteri kepada suami saya Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu.

"Selain daripada tugas-tugas rasmi, saya seorang suri rumah. Saya menjaga anakanda-anakanda saya. Sesiapa sahaja dalam situasi saya akan merasa seperti apa yang saya rasa apabila nama saya tiba-tiba masuk ke dalam buku yang penuh kontroversi ini. Sesiapa pun pada waktu itu tidak mahu dikaitkan dengan Jho Low memandangkan apa yang dia buat pada negara ini," titah baginda dalam nada sebak.

Iklan

Terdahulu, Sultanah Nur Zahirah bertitah baginda tidak tahu mengapa Rewcastle-Brown perlu mengaitkan baginda dengan Jho Low.

"Saya pun hairan, saya tidak pernah kenal dia, jadi kenapa dia perlu tulis 'the wife of the sultan' di dalam buku itu. Saya bukan ahli politik. Adakah dia nak jual buku untuk dapatkan keuntungan demi memburukkan seseorang," titah baginda yang turut memaklumkan permohonan maaf daripada penulis itu tidak diterima kerana tidak ikhlas.

Sultanah Nur Zahirah bertitah, saman itu difailkan kerana Rewcastle-Brown memfitnah baginda di dalam buku berkenaan.

"Buku ini bukan buku cerita, buku dongeng. Buku ini sepatutnya menceritakan yang betul, amalan rasuah yang berlaku di Malaysia. Saya anggap ia memfitnah kerana saya tidak kenal dia. Dia penulis yang terkenal tapi letak nama saya 'the wife of the sultan.' Jadi itu adalah tidak kena... memang salah," titah baginda.

Sultanah Nur Zahirah juga tidak bersetuju dengan cadangan peguam defendan bahawa reputasi baginda tidak terjejas kerana terdapat pembetulan bagi penerbitan edisi kedua buku itu pada September 2018 yang menggantikan frasa 'the wife of the sultan' dengan 'the sister of the sultan.' (merujuk kepada kekanda Sultan Mizan iaitu Tengku Datuk Rahimah).

"Buku edisi pertama yang tulis 'the wife of the sultan' sudah terjual di serata dunia. Jadi dengan dia tidak meminta maaf secara ikhlas dan dibuat secara umum, macam letak di surat khabar utama dan media sosial.

"... dia terus buat edisi kedua dan tukar kepada 'the sister of the sultan' dengan rasa tidak bersalah. Ikut suka dia sahaja, dia nak tulis 'wife' dia tulis 'wife' dan bila buku dah laris terjual serta jadi kontroversi, dia tulis 'sister' pula," titah baginda.

Sultanah Nur Zahirah, yang memfailkan saman itu pada 21 November 2018, mendakwa kenyataan berbaur fitnah itu antara lain bermaksud baginda terlibat dalam amalan rasuah serta mencampuri urusan pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu selain menggunakan status baginda untuk mempengaruhi penubuhan TIA, yang kemudian dikenali sebagai 1MDB.

Sultanah Nur Zahirah juga mendakwa kenyataan itu membawa maksud baginda telah membantu ahli perniagaan dalam buruan Jho Low atau Low Taek Jho menjadi penasihat TIA.

Baginda menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta daripada setiap defendan serta memohon perintah supaya penerbit menarik balik buku yang mengandungi kenyataan fitnah itu dan supaya pencetak berhenti mencetak buku tersebut.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan Lee bersambung Khamis ini. - Bernama