PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengutuk serangan terbaru dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza, beberapa hari lepas.
Menurutnya, Israel sepatutnya menghormati gencatan senjata dan keganasan demi keganasan dilakukan terhadap rakyat Palestin merupakan sesuatu yang sangat membimbangkan.
Iklan
Iklan
Tambah beliau, kekerasan berterusan Israel terhadap Palestin jelas melanggar undang-undang antarabangsa secara terang-terangan.
"Saya menyeru semua pihak untuk mengurangkan tekanan yang memuncak dan kemballikan ketenangan. Saya mendesak Israel menghormati undang-undang kemanusiaan termasuklah perlindungan kepada orang awam.
"Gencatan senjata mestilah dihormati,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, tindakan tidak bertanggungjawab Rejim Zionis sejak beberapa tahun lepas telah menyebabkan banyak nyawa terkorban.
"Apabila dunia mendiamkan diri, komuniti antarabangsa dianggap bersetuju dengan penggunaan kuasa yang tidak seimbang daripada Israel. Ia memburukkan lagi malapetaka yang berlaku terhadap rakyat Palestin yang tidak bersalah,” ujarnya.