KOTA BHARU - Tindakan seorang lelaki memecahkan cermin kereta seorang wanita hamil dengan pisau dan mengugut mangsa, mengundang padah apabila dia ditahan polis di Nilam Puri, di sini pada Ahad.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, berdasarkan siasatan awal, kejadian dipercayai berpunca akibat daripada tindakan membunyikan hon.
Menurutnya, suspek berusia 45 tahun yang memiliki tujuh rekod lampau termasuk enam berkaitan kesalahan dadah itu ditahan dalam serbuan polis di rumahnya pada jam 6.30 petang, selain sebilah pisau dipercayai digunakan dalam kejadian itu turut dirampas.
"Ujian saringan awal didapati negatif dadah, namun rekod lampau suspek terbabit dengan enam kesalahan berkaitan dadah,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini pada Isnin.
Beliau berkata, suspek ditahan reman selama empat hari bermula pada Isnin sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan
"Kes disiasat mengikut Seksyen 506, 279 dan 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan dan perbuatan khianat," katanya.
Sejak Sabtu lalu, tular di media sosial mengenai satu rakaman video berdurasi dua minit 16 saat yang memaparkan seorang lelaki memberhentikan kereta jenis Toyota Vios di simpang jalan dan pergi ke arah kereta jenis Perodua Axia yang berhenti di belakang keretanya.
Dalam kejadian jam 5.45 petang Khamis lalu itu, suspek kemudiannya bertindak mengetuk cermin kereta menggunakan pisau ke arah cermin kereta yang dipandu seorang wanita berusia 35 tahun, sehingga pecah selain turut mengeluarkan kata-kata ugutan.
Mengulas lanjut Muhamad Zaki berkata, sesetengah individu terlalu sensitif ketika berada di jalan raya dan mengingatkan mana-mana individu bahawa mereka tidak akan terlepas dengan hukuman sekiranya didapati bersalah melakukan ugutan kepada orang lain.
"Jika ada kesalahan atau tidak berpuas hati, lapor kepada pihak berkuasa atau buat perbincangan.
"Tindakan menakut-nakutkan ini adalah perkara yang tidak patut berlaku di mana-mana sekali pun,” katanya.
BERITA SEMASA 2 OGOS 2022
Tindakan seorang lelaki memecahkan cermin kereta seorang wanita hamil dengan pisau dan mengugut mangsa, mengundang padah apabila dia ditahan polis di Nilam Puri, Kota, Bharu, Kelantan pada Ahad.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, berdasarkan siasatan awal, kejadian dipercayai berpunca akibat daripada tindakan membunyikan hon.
Artikel: https://bit.ly/3cXGtPU
Muzik: www.bensound.com
#SinarHarian #BeritaSemasa" />