Selangor tepati ramalan tewaskan Kelantan

Iklan
Pemain Kelantan, Mohamad Hakimi Abdullah (depan) hampir terjatuh ketika diasak pertahanan import Selangor, Michal Nguyen pada perlawanan pusingan kedua Piala FA di Kota Bharu, sebentar tadi.

KOTA BHARU - Selangor menepati ramalan apabila menewaskan Kelantan 3-0 pada perlawanan pusingan kedua Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, sebentar tadi.

Aura 'This Is Kota Bharu' ternyata tidak menyebelahi tuan rumah apabila gagal menandingi kehebatan Selangor biarpun pelawat terpaksa menunggu hingga separuh masa kedua sebelum mencetak gol kemenangan.

Iklan
Iklan

Skuad kendalian B Satiananthan memberi amaran betapa kehadiran mereka ke gelanggang keramat The Red Warriors penuh membara untuk memburu kemenangan apabila menguasai sepenuhnya permainan sepanjang babak pertama.

Minit ke-10 menyaksikan pemain sayap The Red Giants, Mohd Syazwan Zainon bijak melakukan hantaran silang tetapi Sandro Da Silva Mendonca terlepas peluang menolak masuk bola di depan pintu gol tuan rumah.

Iklan

Pelawat terus mendominasi permainan dan Da Silva Mendonca sekali lagi memperoleh peluang untuk mencetak jaringan tetapi rembatan jarak dekatnya ditampan keluar penjaga gol, Damien Lim, empat minit kemudian.

Menuju minit ke-17, Selangor sepatutnya berada di depan tetapi percubaan kencang kapten veteran mereka, Mohd Amri Yahyah hasil hantaran lintang Mohd Syazwan sedikit serong di sebelah kanan gawang.

Iklan

Anak buah Satianathan terus memberi tekanan ketika pemain rumah lemas dengan asakan bertali arus namun gol yang dinantikan masih belum kunjung tiba.

Kesilapan bek kanan Kelantan, Afiq Saluddin menampan bola dengan cermat pada minit ke-25 hampir mengundang padah namun Mohd Syazwan pula gagal menterjemahkan jaringan setelah sepakan lencongnya tersasar meskipun Damien Lim sudah tertewas diposisinya.

Ancaman berbahaya pelawat datang lagi selepas itu tetapi Damien Lim membuktikan ketangkasan apabila menafikan rembatan Da Silva Mendonca hasil tolakan ke belakang Mohd Amri, tiga minit kemudian.

Pelawat terus mencipta dua peluang lagi selepas itu tetapi percubaan Mohd Syazwan menerjah jaring sebelah luar pada minit ke-39 disusuli tampanan liar Mohd Amri turut tersasar lima minit berselang untuk menutup tirai separuh masa pertama dengan kedudukan 0-0.

Bersambung babak berikutnya, baharulah anak didik Marko Kraljevic berjaya menemui rentak permainan dan peluang pertama mereka untuk mengejutkan lawan hadir tetapi sepakan bebas Nik Akif Syahiran Nik Mat hanya sedikit tersasar, pada minit ke-56.

Bagaimanapun, penantian Selangor untuk memecahkan kebuntuan akhirnya terlerai apabila Mohd Syazwan menyempurnakan hantaran Da Silva Mendonca menerusi rembatan menarik yang gagal diselamatkan Damien, enam minit kemudian.

Selangor terus unggul di depan apabila Mohd Faiz Mohd Nasir menghukum kepincangan benteng pertahanan tuan rumah dengan menyepak masuk gol kedua, pada minit ke-65.

Satu-satunya peluang terbaik Kelantan untuk merapatkan jurang gol hadir pada minit ke-85 tetapi Mustafa Zazai gagal menewaskan penjaga gawang Selangor, Mohd Farizal Harun di dalam kotak penalti.

Sebaliknya, kem pelawat terus ceria apabila Mohd Faiz memanfaatkan umpanan rakan sepasukannya dengan meledak gol ketiga Selangor dua minit kemudian untuk mengesahkan kemenangan 3-0, pada pertemuan sebentar tadi.