Maut dipukul dengan tukul

Iklan
Mior Faridalathrash

IPOH - Seorang lelaki warga asing ditemui maut di dalam sebuah rumah di Buntong, di sini, dipercayai dipukul dengan menggunakan tukul besi pada Ahad.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, mangsa berusia 37 tahun itu pada awalnya ditemui tidak sedarkan diri oleh abangnya dalam keadaan terbaring dan berselimut sebelum disahkan meninggal dunia.

Iklan
Iklan

Menurutnya, siasatan awal mendapati kes mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut kerana tiada sebarang unsur jenayah ditemui pada badan lelaki tersebut begitu juga di sekitar tempat kejadian.

"Bagaimanapun, hasil bedah siasat yang dijalankan pada Isnin mendapati punca kematian mangsa disebabkan kecederaan pada bahagian perut akibat pukulan objek tumpul.

Iklan

"Oleh itu, kes ini telah diklasifikasikan semula dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mior Faridalathrash berkata, susulan itu pihak polis berjaya menangkap empat individu warga asing yang merupakan adik-beradik, bapa saudara dan rakan mangsa bagi membantu siasatan.

Iklan

Menurutnya, tangkapan kesemua lelaki berusia di antara 33 hingga 46 tahun itu dibuat pada jam 1.15 tengah hari pada Isnin di sekitar Buntong, di sini.

Jelasnya, pihak polis juga turut menemui sebatang tukul besi yang dipercayai digunakan sebagai senjata dipercayai digunakan suspek untuk membunuh mangsa.

Beliau berkata, kesemua mangsa akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Selasa bagi mendapatkan perintah reman untuk membantu siasatan lanjut.